PICKids: Ramai ibu bapa 'tunggu dan lihat' - Utusan Malaysia

PICKids: Ramai ibu bapa ‘tunggu dan lihat’

SEORANG kanak-kanak diberikan suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICKids di PPV Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Lebih 80,000 kanak-kanak di Melaka masih belum mendaftar untuk pemberian vaksin Covid-19 dipercayai disebabkan sikap ‘tunggu dan lihat’ ibu bapa yang bimbang dengan kesan suntikan itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini, hanya 15,000 kanak-kanak telah mendaftar melalui MySejahtera, sejak awal Januari lalu. 

Katanya, angka itu dilihat terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan 98,600 kanak-kanak yang layak menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids). 

“Setakat ini, angka kanak-kanak yang telah didaftar untuk menerima vaksin hanya 15,000 dan memang jauh daripada jumlah keseluruhan. 

“Ibu bapa ini saya yakin mereka tidak menolak vaksin, tapi, mungkin mereka ini takut dan memilih untuk ‘tunggu dan lihat’,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin, Merlimau di sini hari ini. 

Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan itu, 57,828 merupakan kanak-kanak yang bersekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan program, beliau memberitahu, sejak kelmarin, seramai 1,360 kanak-kanak telah selesai divaksin di tujuh PPV di seluruh Melaka.

“Setakat ini, seramai 1,360 kanak-kanak telah divaksin, ini merupakan satu permulaan yang baik dan ibu bapa kena faham pengambilan vaksin ini bukan sahaja mengenai mengurangkan risiko jangkitan, tetapi fokus mengurangkan tahap keseriusan apabila dijangkiti Covid-19. 

“Kini sebanyak 13.9 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan di negeri ini adalah kanak-kanak dan peningkatan kes itu disebabkan kluster pendidikan sejak pembukaan semula sesi persekolahan,” katanya. 

Justeru, beliau turut menetapkan sasaran seramai 49,300 kanak-kanak atau 50 peratus daripada jumlah keseluruhan akan dapat divaksin pada penghujung bulan ini. 

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan JPN untuk mendapatkan persetujuan suntikan vaksin ibu bapa secara dalam talian, melalui platform Google Form dan menyediakan unit bergerak pemberian vaksin ke sekolah.  –UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN