GEORGETOWN: Pembukaan pintu sempadan negara yang dijangka pada awal suku kedua tahun ini dapat memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi khususnya dalam kalangan penggiat industri pelancongan Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau yakin langkah yang bakal diambil kerajaan untuk membuka kembali pintu sempadan negara itu merupakan satu perkara yang amat bermakna kepada pemain industri pelancongan.
“Pada masa ini, industri pelancongan kita masih bergantung sepenuhnya kepada pelancong domestik.
“Saya yakin pembukaan sempadan antarabangsa ini akan membawa impak yang positif kepada pelancongan kita, walaupun dari segi statistik kadar perbelanjaan pelancong asing mungkin perlu terpaksa berbelanja lebih,” katanya selepas menghadiri majlis sumbangan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Kerajaan menjangkakan membuka pintu sempadan negara sepenuhnya pada awal suku kedua tahun ini selepas selesai menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkannya untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan berkenaan.
Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, jangkaan kerajaan mungkin akan membuka pintu sempadan antarabangsa pada suku kedua juga menunjukkan langkah itu dibuat dengan berhati-hati.
“Suku kedua boleh mula akhir Mac atau April, kita faham kenapa suku kedua dipilih memandangkan kes meningkat dengan mendadak.
“Jadi ini adalah langkah yang lebih berhati-hati berbanding cadangan untuk membuka pintu sempadan pada awal Mac sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin Kementerian Kesihatan akan membuat keputusan terbaik untuk menentukan tarikh dan waktu yang sesuai untuk pembukaan sempadan negara itu.
“Ini kerana KKM lebih faham dan tahu apa keperluan yang perlu dibuat sebelum keputusan membuka pintu sempadan dibuat,” katanya. –UTUSAN ONLINE