Peluang kerja fokus kerajaan tingkatkan taraf hidup rakyat - PM - Utusan Malaysia

Peluang kerja fokus kerajaan tingkatkan taraf hidup rakyat – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mewujudkan peluang pekerjaan antara fokus penting kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia ketika ini.

Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif antaranya JaminKerja Keluarga Malaysia bagi menurunkan kadar pengangguran dengan penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 billion.

“Subsidi upah berjaya mengekalkan 2.95 juta pekerja dengan RM20.34 bilion disalurkan untuk membantu majikan di seluruh negara.

“Manakala program PenjanaKerjaya membantu wujudkan lebih 320,000 peluang pekerjaan baharu untuk pencari kerja yang diberhentikan kerja, penganggur serta orang kurang upaya (OKU),” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Selain itu, katanya, portal carian kerja MyFutureJobs turut diwujudkan untuk memastikan aktiviti pasaran buruh kekal aktif dan saling menyokong implementasi program dan inisiatif lain seperti PenjanaKerjaya.

“Usahawan juga dibantu untuk menggaji dan mencipta peluang pekerjaan, supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.

“Selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC), saya yakin usaha NEC dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya dapat diteruskan menerusi Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia, seterusnya memperkasa pendapatan Keluarga Malaysia kumpulan asnaf, B40 dan M40,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN