Pas bukan parti menumpang – Hashim

Pas bukan parti menumpang – Hashim

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan Pas bukan parti menumpang sebaliknya mempunyai kekuatan sendiri yang membantu menambah kekuatan gabungan yang disertai parti itu.

Tegas Hashim, dakwaan Pre­siden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa Pas cuba mengekalkan kuasa dengan cara menumpang adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, menumpang dan kerjasama adalah dua perkara yang cukup berbeza dengan Pas tidak pernah menumpang mana-mana parti sebaliknya menjalinkan kerjasama.

Ujarnya, Pas yang mempu­nyai kekuatan akar umbi, gerak kerja dan sebagainya ada sumbangan besar setiap kali menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik.

“Bukan soal menumpang, menumpang bermaksud tidak memberi sumbangan apa-apa, sebaliknya kita ada sumbangan besar setiap kali bekerjasama. Kita bekerjasama untuk tujuan bersama jauh sekali untuk me­numpang mana-mana parti politik demi kuasa.

TIDAK BERASAS

“Dakwaan Mukhriz Mahathir itu tidak tepat dan tidak berasas sama sekali,” katanya.

Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia kelmarin, Mukhriz ada menyentuh mengenai Pas yang didakwa akan mencari jalan untuk kekalkan kuasa yang mereka tumpang.

“Saya sudah banyak komen pasal UMNO, jadi saya fikir perlu juga beri perhatian kepada Pas. Pas pada pandangan kami, siapa juga yang berkuasa, ke situlah Pas akan cuba cari jalan untuk kekalkan kuasa yang mereka tumpang.

“Sekarang ini dia bersama Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), tapi kalau keadaan berubah, silap-silap mereka boleh patah semula, atau tak tahulah ke mana mereka mahu pergi,” kata Mukhriz dalam wawancara tersebut.

Tambah Hashim, kemasukan atau penyertaan Pas lazimnya akan membantu memberi lebih kekuatan kepada gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Pas memutuskan bertanding di 12 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Katanya, senarai calon akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Syura Pas dan beliau ya­kin Pas mempunyai peluang menang di kerusi-kerusi yang bakal ditandingi itu.

Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pihaknya telah memuktamad agihan kerusi antara parti-parti komponen gabungan itu yang akan bertanding pada PRN Johor.

Sebagai rekod, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Johor, Pas hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Bukit Pasir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN