Op Selamat: 187 kemalangan, tiga maut di Terengganu - Utusan Malaysia

Op Selamat: 187 kemalangan, tiga maut di Terengganu

ISMAIL MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 187 kes kemalangan dengan tiga kematian direkodkan di negeri ini sepanjang enam hari pelaksanaan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina, sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, jumlah kemalangan yang dicatatkan itu naik tujuh peratus atau 13 kes berbanding tempoh sama dalam Op Selamat 16.

Bagaimanapun, katanya, kadar kematian kekal sama seperti tahun sebelumnya.

“Kemalangan tertinggi direkodkan di Kuala Terengganu dengan 52 kes diikuti Kemaman (48 kes), Dungun (23 kes), Besut (21 kes), Marang (17 kes), Hulu Terengganu (14 kes) dan Setiu (12 kes).

“Sepanjang tempoh itu, polis mengeluarkan sebanyak 12,257 saman atas pelbagai kesalahan dengan 2,461 keping merupakan Pol 257 manakala 9,796 keping lagi Pol 170A,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismail, jumlah saman yang dikeluarkan itu meningkat 21 peratus bersamaan 2,116 keping berbanding tempoh sama dalam Op Selamat 16.

Dalam pada itu, katanya, JSPT turut menjalankan beberapa siri operasi penguatkuasaan termasuk Op Had Laju, Op Lampu Isyarat, Op Motosikal, Op Samseng Jalanan, Op Lancar dan Op Bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, dalam operasi berkenaan, sebanyak 11 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan di samping turut menyita 25 motosikal mengikut Seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN