PETALING JAYA: Jangkitan kes Omicron yang kian meningkat di negara ini hanya akan berakhir sekiranya lebih 70 peratus populasi rakyat menerima suntikan dos penggalak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, bagaimanapun setakat ini kadar rakyat mendapat dos penggalak masih rendah iaitu 37.9 peratus.
Katanya, kebanyakan negara luar yang berhadapan gelombang Omicron membimbangkan sebelum ini telah berjaya mengurangkan risiko akibat jangkitan setelah kadar dos penggalak mencapai 70 peratus populasi penduduk.
“Kita perlu menggalakkan golongan berisiko dan warga emas untuk mendapat suntikan dos penggalak dengan segera sekiranya mahu mengurangkan kadar kemasukan wad dan kematian memandangkan peratusan menerima pelalian itu masih rendah.
“Oleh itu, kita perlu memberikan insentif kepada rakyat mendapat suntikan dos penggalak di samping meningkat keyakinan kepada mereka. Sektor kerajaan dan swasta wajar menggembleng usaha itu termasuk memberikan cuti tanpa rekod bukan sahaja ketika hari temujanji, tetapi sehari selepas menerima suntikan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan bilangan jangkitan Covid-19 boleh mencecah sehingga 22,000 kes menjelang akhir Mac tahun ini apabila nilai kebolehjangkitan (Rt) negara mencatatkan 1.20.
Dalam pada itu, Dr. Sharifa Ezat menegaskan, kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) sekiranya menjangkakan bilangan jangkitan Covid-19 lebih tinggi pada bulan depan.
Jelas beliau, aspek tersebut termasuk mengetatkan aktiviti sosial dan perhimpunan orang ramai yang menjadi punca penularan Covid-19 lebih cepat.
“Seperti negara lain, kebanyakan mereka mengetatkan SOP aktiviti sosial seperti mengurangkan jumlah pelanggan di restoran dan menggalakkan bekerja dari rumah serta mesyuarat secara dalam talian bagi mengelakkan pertemuan bersemuka,” katanya.
Dalam nada sama, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan dan pihak majikan perlu mengeluarkan arahan bekerja dari rumah (BDR) sekiranya bimbang dengan peningkatan kes dalam masa terdekat.
Katanya, kerajaan dan Kementerian Kesihatan tidak boleh hanya menakut-nakutkan orang ramai dengan mengeluarkan jangkaan kes, sebaliknya perlu melakukan sesuatu bagi mengelakkan situasi lebih serius.
“Kalau boleh bekerja dari rumah, silakan teruskan dan bukannya terus membenarkan kehadiran 100 peratus ke pejabat. Hal ini kerana segala arahan adalah bermula daripada pihak kerajaan.
“Kerajaan tidak boleh hanya mengumumkan kes akan meningkat 22,000 tetapi tidak melakukan sesuatu bagi mengurangkan kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE










