Murid SK Ulu Tembeling jual sayur isi tabung kelas

Murid SK Ulu Tembeling jual sayur isi tabung kelas

TIGA murid kelas Program Pendidikan Khas Integrasi memetik kacang panjang di tapak kebun sayur Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, Kampung Bantal di Jerantut, Pahang. - UTUSAN /HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 11 Murid Berkeperluan Khas (MBK) kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling di sini berkebun dengan menanam pelbagai jenis ayur dalam kawasan sekolah menerusi bimbingan guru mereka.

Kini, hasil tanaman diusahakan sejak musim tengkujuh penghujung Disember tahun lalu sudah mengeluarkan hasil dan dipasarkan untuk mengisi tabung kelas PPKI sekolah berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besar SK Ulu Tembeling, Abd Manaf Mat berkata, aktiviti berkebun sayur itu merupakan program pendidikan luar kelas untuk melatih murid PPKI berdikari dengan menitip kemahiran serta minat terhadap pertanian bermula di bangku sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Usaha ini juga untuk menggalakkan mereka berminat hadir ke sekolah serta mengikis perasaan jemu dalam kelas apabila guru membawa keluar berkebun.

“Setiap hari waktu persekolahan, kita memperuntukkan waktu untuk murid PPKI berkebun sayur dengan tunjuk ajar guru bermula sejak menanam benih, mengurus penjagaan seperti membaja dan menyiram air sehinggalah mengeluarkan hasil seterusnya memetik untuk dijual secara kecil-kecilan,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini, semalam.

Menurutnya, sayur seperti kacang panjang, bayam dan cili burung merupakan hasil usaha murid PPKI yang begitu rajin dan bersemangat apabila hasil mereka memperoleh wang untuk mengisi tabung kelas setelah dijual kepada pelanggan yang terdiri daripada guru, kaki tangan pejabat dan rakan sekolah.

Sementara itu, guru PPKI, Farhan Fidaiy Nasruddin, 25, berkata, apabila dilatih kemahiran berkebun semua murid PPKI sudah faham tanggungjawab masing-masing terhadap tanaman mereka sejak mula menanam benih, mengurus tanaman sehingga pokok sayur mengeluar hasil dan dipetik.

“Aktiviti berkebun merupakan hasrat jangka panjang khususnya bagi murid ini sekurang-kurangnya mereka mampu berdikari apabila dewasa nanti selain membantu menambah pendapatan keluarga di rumah,” katanya.

Murid PPKI yang kategori lemah pembelajaran, Muhd. Arief Din, 12, pula berkata, dia dan rakannya begitu seronok melakukan aktiviti berkebun ketika diberikan tunjuk ajar oleh guru.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Guru Besar dan guru kelas yang baik hati mengajarkan kami cara berkebun bermula menanam benih sehingga memetik hasil sayur ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN