PETALING JAYA: Beberapa inisiatif dirangka bagi menjayakan sasaran Satu Keluarga, Satu Rumah dalam menyelesaikan masalah pemilikan rumah terutamanya golongan B40 dan M40.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN).
“Kebanyakannya telah dibincangkan dan beberapa inisiatif (Satu Keluarga, Satu Rumah) telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Januari lalu, Reezal Merican dipetik sebagai berkata, sebuah model baharu dalam pembiayaan perumahan akan diperkenalkan iaitu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (iPPM) bagi membolehkan lebih ramai rakyat berupaya dan mendapat akses kepada pembiayaan perumahan.
Semalam, Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) menyarankan kerajaan menubuhkan Tabung Perumahan Negara bagi mencapai sasaran Satu Keluarga Satu Rumah bagi menyelesaikan masalah pembiayaan membabitkan pembeli dalam kumpulan B40.
Mengulas lanjut, Presiden PEHAM, Ishak Ismail berkata, Kementerian Kewangan lebih sesuai diberikan peranan menjayakannya berbanding Kementerian Perumahan dan Kajian Tempatan (KPKT).
Katanya, tabung itu juga perlu mempunyai sasaran lima tahun selepas masuk ke pasaran kerja atau mencapai umur 30-an untuk memiliki atau membeli rumah idaman. – UTUSAN











