EAIC patut jumpa Hamid Bador lerai isu kartel PDRM - Utusan Malaysia

EAIC patut jumpa Hamid Bador lerai isu kartel PDRM

Abdul Hamid Bador enggan mengulas hasil siasatan kartel PDRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Transparency International-Malaysia (TI-Malaysia) kecewa dengan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terhadap dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai wujudnya kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Dr. Muhammad Mohan berkata, EAIC sepatutnya membuat pertemuan dengan Abdul Hamid dan mendapatkan daripada keterangan beliau.

Katanya, keterangan Abdul Hamid adalah penting kerana beliau satu-satunya individu yang boleh mengemukakan bukti bahawa dakwaannya itu adalah benar.

Namun beliau berkata, jika Abdul Hamid tidak dapat mengemukakan bukti maka EAIC harus mendedahkannya kepada umum.

“Abdul Hamid harus mengeluarkan kenyataan untuk menyatakan dakwaannya.

“Orang ramai tidak akan mudah menerima isu ini ditutup lebih-lebih lagi apabila individu nombor satu dalam pasukan polis itu sendiri telah membuat dakwaan serius terhadap sebuah agensi penguat kuasa yang dihormati,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa pihaknya menyifatkan dakwaan wujudnya kartel dalam PDRM seperti didakwa Hamid tidak dapat ditentusahkan oleh siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

Mohd. Sidek mengakui siasatan EAIC mendapati wujud asas terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan telah dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan Abdul Hamid pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan.

Ini kerana, katanya, berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lalu, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yang ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN