Dapat rumah tapi hilang pekerjaan - Utusan Malaysia

Dapat rumah tapi hilang pekerjaan

PESERTA Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Taman Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang mendesak Kerajaan Negeri Kelantan membela nasib mereka. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Dapat rumah tapi terputus sumber pendapatan di ladang.

Itu harga yang terpaksa dibayar 585 peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini yang hilang pekerjaan apabila projek tersebut diambil alih Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Projek itu asalnya dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kesedar, namun selepas kerjasama tamat, ia diserahkan sepenuhnya kepada Kesedar berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Taman Agropolitan Rantau Manis, Roslee Ibrahim, 48, berkata, penyelesaian diputuskan pihak Kesedar dan ECERDC berkaitan projek itu membuatkan mereka kehilangan punca rezeki.

Antaranya, segala perjanjian antara peserta dengan ECERDC sebelum ini terbatal dan para peserta yang sebelum ini mencari rezeki bergantung kepada hasil kelapa sawit terpaksa meninggalkan kerja-kerja di ladang.

“Sebagai ganti, satu surat penyerahan pemilikan kediaman diedarkan kepada peserta program untuk ditandatangani.

“Mengikut kandungan surat, peserta yang bersetuju menandatanganinya akan diberikan surat pemilikan rumah serta menerima gratuiti penyertaan RM700 sebulan hanya untuk tempoh setahun bermula Januari lalu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Roslee, dia difahamkan hanya sebahagian kecil peserta golongan muda akan diserap semula sebagai pekerja ladang, manakala sebahagian besar lagi terutama golongan tua disingkirkan terus sehingga terpaksa mencari kerja lain.

“Ketika ini peserta yang enggan menandatangani surat itu telah hilang punca pendapatan. Sebelum ini purata pendapatan bulanan kami bekerja di ladang adalah sebanyak RM1,500 sebulan.

“Kehidupan kami kini semakin tertekan apabila terpaksa bergolok-gadai barang kemas dan menjual barangan berharga bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Projek Agropolitan Kelantan Selatan menelan belanja RM240 juta dilaksanakan bermula tahun 2009 bermatlamat mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat miskin tegar sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.

Dalam tempoh 12 tahun, projek itu telah memberi manfaat kepada hampir 600 peserta meningkatkan taraf hidup masing-masing apabila diberikan kediaman serta jaminan pekerjaan di ladang kelapa sawit. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN