KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi dan Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir terpaksa melalui jalan sukar sebelum berjaya menggenggam Doktor Falsafah (Sastera) pada Majlis Konvokesyen Khas Open University Malaysia (OUM).
Budiman memberitahu, cita-citanya untuk memperoleh Doktor Falsafah (PhD) bermula ketika berusia 30 tahun, namun impian itu hanya berjaya dilunaskan selepas 20 tahun.
“Perjalanan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana impian tanpa kerja kuat hanya tinggal angan-angan Mat Jenin,” katanya dalam ucapan wakil graduan sidang satu pada majlis konvokesyen itu semalam.
Beliau berkata, tanpa sistem yang boleh membantu juga akan melambatkan seseorang itu mencapai kejayaan.
Katanya, OUM berperanan besar membantu orang ramai memudahcarakan aturan-aturan pentadbiran supaya pembelajaran teratur dan mengikut masa yang ditetapkan.
Tambahnya, OUM akan tetap dikenang sebagai pusat yang memandaikan bangsa dan meluhurkan individu.
“Saya masih ingat pertengahan 2017 saya menyuarakan hasrat melanjutkan pendidikan di OUM, warga OUM menyambut penuh ceria menerima saya, hari ini, saya merupakan pelajar PhD (Sastera) sulung Sains Politik OUM,” ujarnya.
Seramai 2,088 graduan daripada 20 program menerima penganugerahan pada Majlis Konvokesyen Khas itu yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Pengisytiharan Konvokesyen disempurnakan Pro Canselor, Tan Sri Azman Hashim dengan majlis berlangsung secara fizikal bermula semalam sehingga 21 Februari depan.
Dalam pada itu, Mohd. Roslan merakamkan penghargaan kepada OUM yang menerimanya sebagai pelajar dalam peringkat PhD Sastera.
“Untuk belajar pada usia 53 tahun adalah satu perjalanan yang sangat susah, tetapi terima kasih kepada OUM yang sentiasa membantu.
“Saya sebagai anggota polis pun boleh beberapa kali menangis, jadi anda boleh bayangkan betapa susahnya perkara itu,” katanya. – UTUSAN










