KOTA KINABALU: Seramai 58 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun, Pitas terpaksa bersesak menaiki bot setelah satu-satunya jambatan gantung yang menjadi laluan perhubungan mereka rosak akibat banjir.
Sejak banjir melanda Pitas pada awal Januari, lebih 1,000 orang penduduk dari lima buah kampung di daerah itu terputus laluan perhubungan.
Ketua Kampung Bilangau Besar, Eddword Upak berkata, sejak jambatan gantung itu rosak, hanya separuh murid yang bersekolah setiap hari kerana kapasiti bot mampu menampung 25 orang sahaja.
Beliau berkata, sebelum ini Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Dandun membiayai kos pengangkutan murid-murid sekolah tersebut dengan bayaran RM25 setiap hari.
Namun, selepas bermesyuarat semalam, PIBG memaklumkan, mereka tidak mampu lagi membiayai kos pengangkutan murid dari lima buah kampung itu. Maka, kos pengangkutan akan ditanggung oleh ibu bapa.
Lima kampung yang terlibat ialah Kampung Bilangau Besar, Kampung Salungkapit, Kampung Sapatalang, Kampung Mandurian Laut dan Kampung Kobon.
“Kita tahu kebanyakan penduduk di sini hanya pekebun yang menanam sayur-sayuran dan buah-buahan. Pendapatan mereka juga tidak seberapa jadi, memang sukar untuk ibu bapa membayar kos pengangkutan untuk persekolahan anak-anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, ibu bapa amat menghargai usaha PIBG SK Dundun yang sanggup membiayai kos pengangkutan selama ini malah, jaket keselamatan juga turut disumbangkan oleh PIBG.
Eddword berkata, masalah jambatan rosak itu sudah dibawa kepada perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Harun Durabi pada awal Januari lalu.
Walau bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada sebarang kerja-kerja pembaikan dilakukan oleh agensi yang bertanggungjawab.
“Kalau boleh, kita tidak mahu lagi jambatan ini diperbaiki. Ia sudah berkali-kali rosak akibat banjir. Kita mahu jambatan itu terus dinaik taraf sebagai jambatan konkrit bagi memastikan ia boleh bertahan lebih lama,” katanya. –UTUSAN ONLINE