Ubah terma rujukan MPN, bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Ubah terma rujukan MPN, bantu mangsa banjir

Terma rujukan Majlis Pemulihan Negara perlu diubah jika mahu fungsinya diperluaskan termasuk menangani soal banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ditubuhkan untuk memulihkan sektor ekonomi dan sosial akibat pandemik Covid-19 sepatutnya membantu mangsa-mangsa banjir di negara ini.

Khidmat bantuan itu boleh diberikan kerana Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) didakwa gagal dalam menguruskan bencana yang sudah mengorbankan puluhan nyawa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa MPN, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, hal itu perlu dilakukan walaupun terma rujukan dalam MPN tidak berkait dengan bencana lain termasuk banjir luar jangka melanda minggu lalu.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, cuma yang ralatnya apabila tindakan Nadma sendiri yang perlahan mengurus bencana banjir dan sebab itu, MPN tanpa segan silu boleh mengambil alih tugas Nadma atas dasar kemaslahatan dan kepentingan rakyat,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Dzulkefly berkata, skop pengurusan kecemasan di bawah MPN hanya melibatkan pandemik Covid-19 dan hal berkaitan bencana berada di bawah tanggungjawab Nadma dan bukan di bawah bidang kuasa MPN.

Nadma sebelum ini didakwa lambat bertindak selain gagal menggerakkan asetnya dalam membantu penduduk di kawasan terjejas manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapat kecaman sama kerana tidak memberi amaran lebih awal kepada penduduk di Lembah Klang walaupun mempunyai sistem amaran banjir yang baik.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr. Aminuddin Hassim menafikan dakwaan itu sebaliknya menegaskan setiap tanggungjawab telah diberikan kepada semua agensi ‘responder’ lebih awal.

Pertikaian peranan MPN yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika banjir timbul apabila akhbar ini sebelum ini melaporkan, MPN dilihat tidak berfungsi dalam menangani banjir menyebabkan kemarahan rakyat semakin memuncak.

MPN ditubuhkan semasa pentadbiran Muhyiddin yang berfungsi sebagai memudah cara pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan sosial akibat Covid-19 berlandaskan lima ciri utama iaitu melindungi nyawa dan kehidupan; dinamik dan penyesuaian berterusan; penjelasan dan penerangan; peranan segenap lapisan masyarakat serta pemantauan dan keberkesanan prestasi.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa MPN daripada PKR, Wong Chen berkata, terma rujukan MPN perlu diubah jika mahu meluaskan skop tugasan berhubung bencana alam termasuk banjir.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Subang itu berkata, ia memerlukan peruntukan daripada kerajaan untuk MPN memulakan tugasnya dalam menangani masalah bencana yang sepatutnya dilaksanakan oleh Nadma.

“Kami bertindak sebagai alternatif dan satu badan dasar yang melihat polisi negara dan menasihati kerajaan. Yang baiknya kerana keanggotaan MPN merentasi parti politik dan sektor swasta bersifat menyeluruh. Kalau dalam Nadma, kita tidak tahu siapa mengendalikannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN