Sijil vaksinasi Covid-19 sedia ada banyak kelemahan - Utusan Malaysia

Sijil vaksinasi Covid-19 sedia ada banyak kelemahan

Seorang penduduk di Kuala Terengganu menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Dewan Serbaguna PPR Hiliran, semalam. - UTUSAN/PUQTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem verifikasi sijil vaksinasi di negara ini perlu diuruskan dan dikawal selia Kementerian Kesihatan dengan dihubungkan secara terus kepada pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye berkata, penggunaan sistem tersebut juga perlu dilaksanakan dengan kerjasama negara luar bagi memudahkan urusan atau pemantauan keluar masuk ke negara ini.

Menurutnya, penggunaan sistem baharu penting ekoran banyak kelemahan yang terdapat pada sijil vaksinasi sama ada berbentuk fizikal atau menerusi aplikasi MySejahtera.

“Sepatutnya apabila mana-mana pihak teliti sijil vaksinasi seseorang, mereka boleh kesan sama ada ia sahih atau sebaliknya.Sebab itu perlu adanya satu sistem verifikasi. Sebagai contoh, apabila saya terima sijil vaksinasi dan saya mahu sahkan, Kementerian Kesihatan perlu ada web atau sistem yang boleh menentukan ketulenan sijil berkenaan serta ia perlu dihubungkan dengan agensi lain.

“Malah, kalau individu tersebut mahu mengerjakan umrah sekalipun, sijil mereka boleh ditentukan kesahihannya oleh agensi terlibat sama ada Jabatan Imigresen atau syarikat yang menguruskan mereka. Begitu juga jika seseorang mahu ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas laporan media berkenaan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu selepas penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta dalam satu serbuan di Marang Sabtu lalu.

Setiap sijil berkenaan dipercayai dijual antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan iaitu RM300.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata, Kementerian Kesihatan boleh menjadikan contoh sistem yang diguna pakai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mampu mengesan kenderaan yang dikenakan kompaun oleh salah satu agensi terbabit.

“Kita ambil contoh sebagaimana sistem saman yang boleh dihubungkan antara agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang boleh dikesan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). SIstem sebegini yang sepatutnya Kementerian Kesihatan gunakan,”ujarnya.

Dalam pada itu pensyarah yang juga pakar dalam bidang Teknologi Maklumat Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, adalah wajar kerajaan memasukkan segala data dan maklumat berhubung sijil vaksinasi dalam kad pengenalan bagi rakyat di negara ini atau pasport bagi rakyat negara asing.

Jelasnya, langkah tersebut membuatkan sijil pengesahan vaksinasi sangat sukar untuk disalah guna atau dipalsukan.

“Sekarang ini semua gunakan kaedah digital. Jadi mengapa tidak maklumat vaksinasi dimasukkan dalam kad pengenalan? Bukankah ia lebih mudah dan selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN