RM 46juta kerugian banjir di Kota Marudu - Utusan Malaysia

RM 46juta kerugian banjir di Kota Marudu

MAXIMUS Ongkili (kiri) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir di Dewan Komuniti Kota Marudu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA MARUDU: Kerosakan akibat banjir yang berlaku pada awal bulan ini menyebabkan kerugian kira-kira RM46 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, itu anggaran oleh pejabat daerah dan setakat ini, peruntukan berjumlah RM24 juta telah diluluskan bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak.

Beliau berkata, selebihnya akan diluluskan selepas pengesahan semula oleh agensi berkaitan.

Katanya, hubungan rapat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri membolehkan bantuan disampaikan segera kepada mangsa-mangsa banjir.

“Dalam pengurusan banjir dan bencana, kerajaan persekutuan mempunyai kuasa tertinggi, dari segi perkhidmatan dan penyaluran bantuan kewangan melalui agensi berkaitan.

“Bantuan tunai RM1,000 untuk setiap isi rumah selesai disalurkan hanya dalam tempoh tiga minggu,” katanya dalam program penyampaian Bantuan Wang Ihsan di Dewan Komuniti Kota Marudu, semalam.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, daripada 1,161 isi rumah yang terjejas banjir di daerah ini, 332 orang telah menerima bantuan lebih awal manakala, 829 orang lagi menerima bantuan mereka semalam.

Maximus berkata, kira-kira RM1.4 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk meringankan beban mangsa banjir berikutan banjir baru-baru ini di enam negeri, termasuk Sabah.

Menerusi peruntukan itu, setiap isi rumah boleh menerima antara RM10,000 hingga RM61,000, bergantung kepada jumlah kerugian harta benda yang mereka alami.

Selain bantuan tunai ihsan, kerajaan juga menawarkan bantuan lain seperti baucar tunai RM500 untuk pembelian peralatan elektrik; bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk membaiki rumah dan bagi rumahnya musnah sepenunnya, kerajaan memperuntukkan RM56,000 untuk membina rumah baharu.

Mengulas lanjut katanya, dalam kejadian di Selangor, pembangkang dilihat kurang pengalaman dalam menguruskan banjir dan ketiadaan hubungan kerja yang erat dengan Kerajaan Persekutuan menambahkan lagi kesukaran mengurus bencana banjir.

“Sama ada kerajaan negeri kukuh dari segi kewangan, tetapi tanpa pengalaman dalam menguruskan bencana, mereka masih perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan untuk demi melindungi rakyat.

“Itu pentingnya hubungan rapat antara kerajaan negeri dan persekutuan. Di Sabah, kita bertuah kerana kerajaan Gabungan Bersatu Sabah dapat berkomunikasi dengan baik dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya