PM minta warga JPM agresif promosi konsep Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

PM minta warga JPM agresif promosi konsep Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar lebih agresif mempromosi konsep Keluarga Malaysia yang mendasari kerajaan pimpinan beliau untuk bekerja secara bersama-sama memulihkan negara daripada kesan pandemik Covid-19. 

Perdana Menteri menegaskan, sepatutnya yang mendahului promosi konsep yang dilancarkan Oktober lalu ialah JPM yang mana Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagai pengerusi.

“Sepatutnya yang mendahului promosi konsep ini ialah JPM. KSN sebagai pengerusi promosi ini, kadang-kadang saya lihat kurang peranan yang ditunjukkan oleh agensi atau jabatan di bawah JPM.

“Justeru, saya berharap dapat meningkatkan promosi konsep Keluarga Malaysia supaya orang lain dapat lihat bahawa JPM terlibat lebih ke hadapan berbanding orang lain. Bagaimana saya nak minta sokongan orang lain kalau kita selaku tuan rumah tidak lakukan sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap dalam majlis amanat Perdana Menteri bersama warga JPM semalam.

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selain mengandungi 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Justeru, beliau berharap mendapat sokongan semua pihak terutama dalam kalangan warga JPM sendiri kerana hampir semua polisi dan dasar kerajaan ditentukan di sini. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri menghargai kepemimpinan di setiap negeri yang rata-ratanya menyambut baik konsep tersebut dan menguar-uarkan dalam setiap majlis yang dianjurkan.

“Saya berharap apabila diumumkan Keluarga Malaysia, ia mendapat sokongan agensi-agensi selain menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan untuk promosikan konsep Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berharap semua warga sektor awam khususnya JPM dapat menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti kerana seluruh mata tertumpu kepada jabatan ini memandangkan hampir keseluruhan perkara berkaitan dasar negara terletak di bawah JPM.

Pada masa sama, beliau menghargai peranan JPM menggerakkan sukarelawan membnatu mangsa pasca banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Beliau berkata, dari segi gerak kerja di JPM sepatutnya mesti menunjukkan contoh terbaik  kepada kementerian lain dan rakyat dari segi pengurusan agar apa yang dirancangkan kerajaan perlu dipastikan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. 

Atas sebab itu, kata beliau, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas memantau Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya rakyat dapat merasai setiap apa yang diumumkan kerajaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN