Malaysia berhasrat larang jualan rokok, produk tembakau pada individu lahir selepas 2005 - Khairy - Utusan Malaysia

Malaysia berhasrat larang jualan rokok, produk tembakau pada individu lahir selepas 2005 – Khairy

KHAIRY Jamaluddin berucap pada Majlis Perkongsian Strategik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Hotel Le Meridien, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia berhasrat untuk menguatkuasakan larangan jualan rokok dan semua jenis produk tembakau terhadap semua individu yang lahir selepas 2005.

Hasrat itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland malam tadi.

Katanya, larangan itu adalah bagi menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) dan berharap dapat meluluskan undang-undang tersebut tahun ini.

“Jika berjaya, undang-undang ini akan dapat menghentikan generasi merokok (a generation end game to smoking) dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.

“Malaysia merasakan ini akan memberi impak yang besar dalam mencegah dan mengawal NCD,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyokong Hala Tuju Pelaksanaan WHO, menerusi penyelarasan Pelan Strategik Kebangsaan NCD dan Kertas Putih Mengenai Penjagaan Kesihatan Masa Depan.

Namun, dalam mencegah dan mengawal NCD, Khairy berkata, Malaysia memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat nasional dan subnasional dengan kerjasama pelbagai pihak yang melibatkan kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan masyarakat setempat.

“Malaysia baru-baru ini melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat. Ini melangkaui program promosi kesihatan. Kami mahu ia menghasilkan pendekatan Dasar Kesihatan dalam Semua (Health in All Policies) di mana setiap pemegang taruh meletakkan keutamaan terhadap kesihatan.

“Ini akan menggalakkan kementerian yang berbeza untuk memikirkan tentang sumbangan mereka kepada agenda kesihatan negara. Bagaimana boleh membina alam sekitar dan perancangan bandar membawa kepada taraf kesihatan yang lebih baik?

“Bagaimanakah dasar pertanian dapat meningkatkan kemampuan untuk mendapatkan makanan sihat? Bagaimana kita bertindak berdasarkan penentu sosial hasil kesihatan? Dasar Kesihatan dalam Semua adalah penting dalam meraih hasil yang lebih baik untuk mencegah dan mengawal NCD,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.