'Himpunan selamatkan Malaysia dari korupsi' - Utusan Malaysia

‘Himpunan selamatkan Malaysia dari korupsi’

Peserta himpunan #TangkapAzamBaki berkumpul di Jalan Bangsar bagi mendesak Tan Sri Azam Baki meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Himpunan #TangkapAzamBaki dilihat bukan bertujuan menangkap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki semata-mata, sebaliknya membantah sistem pentadbiran negara yang korupsi.

Malah, dalam himpunan itu, tiga perkara yang dituntut para peserta adalah ingin melihat negara dalam keadaan bersih, mahu melihat Azam dihenti atau direhatkan agar instusi SPRM dapat dibersihkan serta menghadapi dan melawan sistem yang korupsi.

Malah, penganjur himpunan itu menegaskan, mereka melakukan himpunan secara sukarela, tidak bayar atau menerima imbuhan dari mana-mana pihak untuk turun mengadakan demonstrasi jalan raya di pekarangan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Bangsar, semalam.

Salah seorang jurucakapnya, Tarmizi Anuwar berkata, ini kerana anak muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun parti politik turun bagi memberikan sokongan tanpa sebarang imbuhan.

Katanya, ini kerana mereka dan anak muda itu hadir dengan keadaan perbelanjaan dan kesedaran sendiri bahawasanya mereka perlu menyelamatkan negara.

“Dakwaan dibayar pihak tertentu langsung tak benar sebab kami sendiri tidak ada sebarang duit dan tidak ada kemampuan membuat pembayaran (kepada para peserta).

“Namun, mereka datang dengan inisiatif dan kesedaran sendiri bahawasanya kita perlu selamatkan Malaysia.

“Jadi tak betul mereka datang kerana mendapat apa-apa imbuhan (dari mana-mana pihak), tetapi untuk memberikan sokongan (kepada himpunan ini),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan LRT Bangsar, semalam.

Kira-kira 400 orang terdiri daripada anak muda, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berhimpun di pekarangan stesen aliran transit (LRT) semalam bagi menuntut tiga perkara susulan susulan kontroversi dikaitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM baru-baru ini.

Kontroversi membabitkan Azam menjadi pertikaian ramai selepas timbul dakwaan berhubung isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu.

Himpunan ‘Tangkap Azam Baki’ itu menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM itu ditangkap serta-merta, proses undang-undang ke atas Azam bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.

Para peserta turut melaungkan slogan ‘Tangkap Azam Baki’ dan ‘Hidup Rakyat’ sambil membawa kain rentang yang tertera slogan Tangkap Azam Baki dan imej Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berarak menuju ke pekarangan Brickfields sebelum kembali semula ke stesen LRT Bangsar.

Mengulas lanjut, Tarmizi yang juga Bendahari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, tuntut yang dibuat itu adalah kerana pihaknya melihat ada berlakunya salah guna kuasa dari SPRM dan agensi itu dikenakan tindakan.

Katanya, keputusan untuk turun berdemonstrasi di jalan raya juga diambil berikutan tidak berpuas hati dengan sebarang siasatan yang dilakukan ke atas Azam itu apabila nampaknya tidak ada sebarang siasatan yang jelas dan telus.

“Sepatutnya lebih ramai yang hadir, tetapi disebabkan implikasi oleh pihak polis dan pihak kerajaan khususnya untuk menutup dan menakutkan orang awam, maka ia memberi kesan sedikit sebanyak mengurangkan jumlah peserta.

“Namun, apa-apa pun, kita berjaya mengumpul kira-kira 400 orang untuk menunjukkan sokongan terhadap himpunan yang diadakan ini.

“Kita akan terus mendesak dan terus melakukan beberapa desakan dari masa ke semasa untuk memastikan Azam diambil tindakan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya