Kita Budak Ampang 'bukan mahu bersaing’ - Hans Isaac - Utusan Malaysia

Kita Budak Ampang ‘bukan mahu bersaing’ – Hans Isaac

Program komuniti antara yang dijalankan oleh Datuk Hans Isaac menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NG)) Kita Budak Ampang. - FB HANS ISAAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya bekerja untuk rakyat dan bukannya sebab nak nampak lebih baik daripada individu lain”.

Demikian ungkapan penerbit, pengarah dan pelakon popular, Datuk Hans Isaac mengenai usaha beliau menjalankan aktiviti kemasyarakatan, khususnya di Parlimen Ampang.

“Saya bergerak atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kita Budak Ampang dan untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula saya hanya menunggu arahan kerana tidak mempunyai sebarang jawatan.

“Saya berkhidmat untuk warga Ampang kerana saya sendiri berasal dari Ampang jadi saya memahami keperluan golongan penduduk di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sejak Langkah Sheraton, Ampang yang merupakan kubu kuat PKR tidak lagi di bawah naungan parti itu kerana Ahli Parlimen Ampang, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin turut ‘melompat’ ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam tsunami politik itu.

Desas-desus banyak mengatakan Hans akan diberi ruang untuk bertanding di Ampang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Walaupun begitu, Hans menjelaskan, beliau masih sekadar ahli biasa dalam PKR dan belum dimaklumkan mengenai sebarang perancangan untuk PRU-15.

“Tiada apa-apa kepastian setakat ini dan pada saya, Kami Budak Ampang akan berbakti kepada masyarakat bukan untuk membuat persediaan PRU-15 tetapi untuk memastikan hak rakyat Ampang terbela.

“Saya tidak mahu pun bersaing dengan sesiapa. Yang saya tahu, saya nak jalankan tugas untuk masyarakat di sini kerana 40 tahun saya sudah berada di Ampang jadi saya hendak berbakti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN