Buka baraj air atasi banjir termenung - Utusan Malaysia

Buka baraj air atasi banjir termenung

Walaupun kawasan rumah masih digenangi air, mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat mulai pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah mereka pada hari kesembilan di Kampung Lanchang, Merlimau, Jasin. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Fenomena banjir termenung yang berlarutan hampir tiga minggu di empat kampung di Jasin dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya Jumaat ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, langkah penyelesaian berhubung masalah itu telah dicapai antara pihaknya dengan Jabatan Peng­airan dan Saliran (JPS) untuk mengepam air bah ke Sungai (Sg.) Lanchang dan seterusnya mengalir ke Sg. Kesang.

Bagaimanapun, beliau berkata, JPS sedang meneliti waktu paling sesuai untuk membuka baraj air di Sg. Kesang, bagi membolehkan air disalurkan terus ke laut.

“Banjir di Jasin surut sangat perlahan disebabkan oleh paras air Sg. Lanchang tinggi dari kawasan kampung yang terlibat. JBPM Melaka sudah berbincang dengan JPS, pintu air di Sg. Lanchang akan dibuka untuk alirkan air ke Sg. Kesang kemudian terus ke laut.

“JPS beri jaminan akan berbuat demikian dalam masa satu, dua hari ini. JBPM tunggu pelepasan air dari Sg. Lanchang kemudian baharu kita akan pam air termenung di kawasan terjejas,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, penduduk mendesak JPS dan kerajaan negeri membaik pulih semula sungai buatan berhampiran Sg. Lanchang yang didakwa menjadi punca berlakunya banjir.

Sejak sungai buatan itu dibina JPS tahun lalu, kawasan rendah di kampung tersebut mula dilanda bah yang mana kejadian paling teruk adalah pada 17 Di­sember 2021.

Dalam pada itu, setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 120 mangsa terdiri daripada 35 keluarga masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, SK Seri Mendapat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg. Rambai.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kawasan yang masih terjejas adalah Kg. Parit Penghulu Benteng, Kg. Lanchang, Kg. Tersusun Rambai Jaya dan Kg. Parit Putat Benteng.

“Jumlah mangsa paling ramai adalah di SMK Sg. Rambai de­ngan 92 mangsa diikuti SK Seri Mendapat (20) dan SK Parit Peng­hulu (lapan),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN