Bersihkan institusi kehakiman syariah dari tohmahan - Utusan Malaysia

Bersihkan institusi kehakiman syariah dari tohmahan

Ismail Yahya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan polis yang dibuat terhadap seorang hakim kanan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bertujuan membersihkan institusi itu daripada tohmahan dan mereka yang berniat jahat.

Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, apabila berlaku tohmahan dan fitnah seperti itu, ia menjejaskan imej dan kredibiliti institusi tersebut dan siasatan perlu dilakukan bagi membersihkan perkara ini pada mata umum.

Katanya, beliau sendiri telah membuat laporan di Balai Polis Sentul pada April tahun lalu berhubung penularan audio seorang wanita yang mendakwa berhadapan dengan gangguan seksual oleh seorang hakim kanan syarie.

“Sebagai bekas Ketua Hakim Syarie dan bekas Mufti Terengganu saya merasa terganggu dengan tohmahan seperti ini kerana ia akan menjejaskan imej institusi kehakiman syariah.

“Sebab itu, satu siasatan perlu dilakukan untuk membersihkan tohmahan ini dan memastikan institusi kehakiman ini tidak terpalit dengan tohmahan dan fitnah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) telah membuat kenyataan berhubung isu hakim kanan yang disiasat selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap wanita sudah berkahwin pada tahun 2020.

Perkara itu telah mencetuskan polemik dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad campur tangan dalam kemelut institusi kehakiman syariah di negara ini.

Sebab itu, kata Ismail, siasatan lengkap perlu dibuat untuk merungkai kemelut ini yang menjejaskan imej kehakiman syariah.

“Saya buat laporan polis kerana mahu memastikan kebenaran perkara ini. Siasat sama ada benar atau tidak.

“Kalau tidak benar, ambil tindakan terhadap pihak-pihak yang telah mencemarkan institusi kehakiman syariah dan yang mencemarkan institusi Islam.

“Kita tidak boleh biarkan orang mencemarkan institusi agama kita. Orang yang ditohmah itu pula membabitkan hakim kanan syariah. Tohmahan seperti ini perlu dibersihkan,” katanya.

Namun malangnya kata Ismail, dalam maklum balas pihak polis terhadap laporannya itu mereka mengatakan ia telah dirujuk kepada Mahkamah Syariah. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya