VTL: Nenek sanggup tunggu dua jam untuk sambut anak, cucu dari Singapura - Utusan Malaysia

VTL: Nenek sanggup tunggu dua jam untuk sambut anak, cucu dari Singapura

LEE Siew Kean (kiri) memeluk erat dua cucunya yang pulang ke tanah air bersama ibu mereka, Tai Chin Lin di bawah skim VTL darat melalui perkhidmatan bas di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Meskipun sudah dimaklumkan bas dinaiki anak perempuan dan dua cucunya hanya akan tiba pukul 2.30 petang, seorang wanita lebih awal berada di Terminal Larkin Sentral, di sini bagi menyambut kepulangan mereka.

Kira-kira pukul 12 tengah hari, Lee Siew Kean, 68, sudah berada di balai ketibaan kerana tidak sabar untuk menatap dan memeluk anaknya, Tai Chin Lin, 34, serta dua cucunya yang berusia enam dan sembilan tahun.

Ia berikutan, sudah dua tahun Chin Lin bersama dua anak dan suaminya yang merupakan warganegara Singapura tidak dapat pulang menjenguk Siew Kean.

“Saya bekerja di pasar di Bukit Merah, sudah dua tahun kami tidak pulang bertemu ibu dan ahli keluarga di Kulai, perasaan rindu itu sangat sukar untuk digambarkan.

“Saya bernasib baik kerana berada bersama suami dan anak-anak di Singapura jadi tidak terasa sangat kesunyian seperti rakan-rakan lain yang selalu berkongsi rasa dengan saya.

“Maka peluang balik di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) saya gunakan sepenuhnya untuk pulang bertemu keluarga walaupun suami tidak dapat ikut sama,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, VTL darat dan udara antara Singapura – Malaysia secara rasminya bermula selepas hampir dua tahun sempadan kedua-dua negara ditutup susulan pandemik Covid-19.

Sebelum pandemik, kira-kira 300,000 pengguna berulang alik menyeberangi tambak dari Malaysia ke Singapura untuk pelbagai urusan, terutamanya bagi rutin pekerjaan.

Sementara itu, pekerja di sebuah kilang di Jurong East, Razmi Awang Dadu, 29, berkata, sepanjang ‘terperangkap’ di Singapura, hanya panggilan video menjadi penghubung dia bersama isteri dan dua anak mereka di tanah air.

Katanya, perasaan rindu amat menebal setelah sekian lama tidak dapat memeluk anak-anaknya yang sering bertanyakan bila dia akan pulang untuk tinggal bersama mereka.

“Sengaja saya rahsiakan kepada isteri saya pulang bercuti di bawah skim VTL ini kerana mahu membuat kejutan kepada mereka.

“Sepanjang di sana, walaupun terpaksa hidup di negara orang, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik apatah lagi rakan-rakan sekerja banyak memberi sokongan moral kerana memahami situasi masing-masing.

“Kini setelah dapat balik seketika untuk bercuti, saya akan luangkan sepenuh masa dengan isteri dan anak-anak sebelum kembali bekerja sana dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, suasana di Terminal Larkin Sentral berada dalam keadaan terkawal dan setakat ini tiada penambahan kes positif Covid-19 direkodkan selepas kes pertama dikesan semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.