PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) mengesahkan pihaknya akan menjalankan ujian 5G dengan agensi kendalian kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB) untuk mengoptimumkan perkhidmatan tersebut.
Menurut TM, kesalinghubungan teknologi dan digital telah menjadi satu keperluan dalam ekosistem hari ini.
“Semasa ujian perintis, pelanggan pascabayar mudah alih unifi dengan peranti 5G yang diperakui akan dapat merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan 5G di kawasan terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya,” kata syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan, semalam.
TM memaklumkan, pelancaran 5G itu akan meningkatkan lagi penciptaan nilai bagi pengguna, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perniagaan korporat.
“Kami akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan 5G bagi negara dan mempercepat lonjakan masyarakat, perniagaan dan industri ke arah Digital Malaysia,” ujarnya.
TM mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai maklum balas kepada laporan berita mengenai syarikat itu akan menjalankan ujian 5G dengan DNB menjelang pelancaran perkhidmatan rangkaian 5G yang dirancang bulan ini.
DNB, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi pihak neutral tunggal bagi melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.
Bulan lalu, DNB mennegaskan bahawa tiada persetujuan dicapai dengan TM dan menjelaskan garis masa awalnya untuk rundingan adalah ‘terlalu optimistik’.
Namun Jumaat lalu, DNB memaklumkan pihaknya menjangka akan melancarkan 10 peratus liputan perkhidmatan 5G di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur pada akhir bulan ini dengan bilangan tapak kumulatif sebanyak 500 tapak.
Bilangan itu akan ditingkatkan kepada 4,018 tapak atau 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk di Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak pada 2022.
DNB juga menyasar mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk negara ini menjelang 2024 dengan 7,509 tapak. – UTUSAN










