Status MySejahtera Rosmah jingga, bicara ditangguh Jumaat - Utusan Malaysia

Status MySejahtera Rosmah jingga, bicara ditangguh Jumaat

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguhkan sehingga Jumaat ini kerana status MySejahteranya berwarna jingga yang menunjukkan beliau mempunyai kontak dengan Covid-19.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili beliau berkata, anak guamnya hadir bagi mengikuti prosiding hari ini namun status terkini MySejahteranya menyebabkan beliau tidak dibenarkan memasuki kawasan mahkamah.

Menurut peguam bela, beliau dimaklumkan bahawa kod warna pada status MySejahtera Rosmah berwarna jingga manakala suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak berwarna merah.

Bagaimanapun, ketika ditanya Hakim Mohamed Zaini Mazlan sama ada bekas Perdana Menteri positif Covid-19, Jagjit menyatakan beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

Ketika kes disebut di hadapan hakim berkenaan, Rosmah sedang menunggu di dalam kereta di pekarangan kompleks mahkamah.

Hakim Mohamed Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan dan mengarahkan peguam itu memastikan Rosmah mengemaskini status MySejahtera beliau pada Jumaat ini.

“Jumaat ini peguam tetap perlu hadir di mahkamah dan maklumkan kepada saya. Jika statusnya berwarna biru, perbicaraan akan didengar seperti yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

Sebelum itu, Hakim Mohamed Zaini menjelaskan prosedur mahkamah bahawa hanya kod warna biru MySejahtera dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah.

Ujarnya, meskipun beliau bertegas supaya Rosmah hadir pada perbicaraan, pihak pengurusan dan keselamatan mahkamah tidak akan membenarkannya.

“Tidak kira sama ada beliau sihat atau sakit, dia tidak dibenar memasuki mahkamah jika kod warna MySejahtera selain daripada warna biru,” kata hakim berkenaan.

Mahkamah sepatutnya menyambung kes pembelaan pada perbicaraan terhadap Rosmah, 69, atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah membenarkan pernyataan Rosmah yang dirakam ketika siasatan kes pengubahan wang haram, digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah projek solar.

Hakim Mohamed Zaini membenarkan pihak pendakwaan mencabar kredibiliti isteri bekas Perdana Menteri dan menyoal balas berhubung karektor Rosmah di bawah Seksyen 54 Akta Keterangan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya