SIBS, SAS rekod RM317 juta pelaburan - Utusan Malaysia

SIBS, SAS rekod RM317 juta pelaburan

TENG Chang Khim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris dalam sidang akhbar membentangkan laporan penganjuran SIBS yang diadakan pada 18 hingga 21 November dan SAS 2021 pada 25 hingga 27 NOvember di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak RM217 juta potensi pelaburan dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 direkodkan dan nilai tersebut mencapai sasaran awal RM200 juta apabila sebanyak 194 pemadanan perniagaan dilakukan.

Sidang kemuncak yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 hingga 21 November lalu itu menyaksikan pelaburan asing dari 35 negara masuk ke negara ini dalam pelbagai sektor menerusi pemadanan secara fizikal dan dalam talian.

Exco Industri dan Perdagangan, Datuk Teng Chang Khim berkata, jumlah tersebut berjaya melepasi sasaran awal, namun menurun berbanding RM247 juta pada SIBS 2019 berikutan cabaran pandemik yang perlu diambil kira dalam memastikan pemadanan perniagaan dapat dicapai.

“Dalam keadaan negara dilanda pandemik, SIBS 2021 berjaya mengumpul 494 gerai pameran secara fizikal dan 623 gerai pameran secara maya. Seramai 30 pembeli asing dari empat negara mengambil bahagian dalam pemadanan perniagaan yang diadakan secara fizikal dan 164 pembeli dari 31 negara pula secara dalam talian.

“Di samping itu, tiga jenama pasar raya terkemuka, Aeon Co. (M) Sdn. Bhd., Lulu Group Retail Malaysia dan ST Rosyam Nor Mart Sdn. Bhd. bersetuju menyertai Program Pembeli Pasar Raya 2021 sempena Expo Antarabangsa Selangor 2021 (Makanan dan Minuman) di pasar raya terpilih,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, sejak penubuhan SIBS, penganjuran kali ini menjadi platform untuk perniagaan antarabangsa menggunakan Selangor sebagai batu loncatan untuk menerokai pasaran ASEAN yang lebih luas dan rumah bagi lebih 600 juta pengguna dan 200 syarikat terbesar dunia.

Dalam pada itu, Chang Khim turut memaklumkan sebanyak RM2.8 juta pelaburan daripada kerajaan negeri dalam penganjuran Pertunjukan Udara Selangor (SAS) 2021 dan menyaksikan 13 memorandum persefahaman (MoU) melibatkan 19 syarikat.

“Kerjasama dimeterai termasuk dalam sektor pembangunan tenaga kerja vokasional dalam industri aeroangkasa, pembangunan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor, hab latihan simulasi, pusat sehenti penyelenggaraan, baik pulih dan overhaul (MRO) untuk dron dan pembangunan pembuatan pesawat laut.

“Sementara itu, kerjasama strategik yang ditandatangani Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan ExcuJet Aviation Group menyaksikan Dassault Aviation melabur sehingga RM100 juta melalui ExecuJet MRO Services untuk menubuhkan pusat sehenti MRU baharu

Menurutnya, SAS 2021 yang julung kali diadakan disifatkan berpotensi apabila mengumpulkan 43 peserta pameran dari tujuh negara, selain Malaysia seperti Switzerland, Italy, Amerika Syarikat, Brazil, Perancis serta Turki dengan pameran 18 pesawat pelbagai jenis.

Justeru, edisi kedua dijangka diadakan pada 8 hingga 10 September 2022 dengan menyasarkan penyertaan negara seperti United Kingdom, Sepanyol, Jerman, Jepun, Korea Selatan, China dan Indonesia. – UTUSAN

 

CAPTION:

 

TENG Chang Khim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris dalam sidang akhbar membentangkan laporan penganjuran SIBS yang diadakan pada 18 hingga 21 November dan SAS 2021 pada 25 hingga 27 NOvember di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor, hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN