Shofian tinggalkan SingTel untuk buka kolam pancing air masin - Utusan Malaysia

Shofian tinggalkan SingTel untuk buka kolam pancing air masin

SHOFIAN Mustami (tengah) bersama pemancing di Kolam SF Aquafarm yang diusahakannya di Kampung Telok Kerang, Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Meninggalkan kerjaya selama 30 tahun sebagai kakitangan syarikat SingTel di Singapura telah mengubah kerjaya Shofian Mustami sebagai pengusaha ternakan ikan air masin dalam kolam.

Bagaimanapun menurut Shofian, 47, kejayaan tidak datang bergolek kerana dia perlu belajar dari bawah dengan memilih Terengganu sebagai lokasi untuk dia ‘berguru’ sebelum berupaya membina perniagaan sendiri.

Katanya, pada peringkat awal, dia membina enam buah kolam ikan menggunakan kanvas bagi proses menternak ikan siakap, merah dan kerapu pada 2017 di atas tanah seluas dua ekar di Kampung Telok Kerang, di sini.

“Bagi setiap kolam, saya masukkan antara 50,000 hingga 60,000 benih ikan yang akan dipasarkan apabila mencapai ukuran tiga inci dengan harga RM1.50 kepada penternak tempatan dan di luar Johor.

“Saya akui tiada pengetahuan dalam menternak ikan namun kerana minat serta galakkan daripada seorang kawan di Terengganu, saya mencuba menceburi bidang yang sangat asing sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SF Aquafarm, semalam.

Anak kelahiran Perak itu berkata, setelah kolam ternakannya membuahkan hasil serta memberikan pulangan modal, dia mengambil keputusan membina kolam pancing pula juga hasil cadangan rakan-rakannya.

“Namun, kolam pancing ini baru sahaja beroperasi pada April lalu tetapi terpaksa ditutup selama empat bulan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum dibuka semula sejak sebulan lalu.

“Kolam berukuran 500×200 kaki persegi itu menggunakan air masin sebagai medium utama bagi membolehkan ikan-ikan seperti ikan merah, ungga, sikap, sagai, kerapu dan GT dimasukkan ke dalam kolam,” ujarnya.

Katanya, sambutan yang diberikan oleh kaki-kaki pancing bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan tetapi datang dari Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kluang terutama pada hujung minggu.

Menurut Shofian, bagi memastikan pemancing tidak pulang hampa, sebanyak dua tan ikan pelbagai jenis dimasukkan ke dalam kolam setiap minggu bagi membolehkan kaki pancing bertarung setiap detik dan masa.

“SF Aquafarm menawarkan tiga pakej bayaran iaitu RM60 bagi tiga jam, RM70 bagi tiga jam setengah serta umpan udang lima ekor percuma dan RM100 untuk lima jam setengah dengan udang percuma 10 ekor,” jelasnya.

Menurutnya, dia bersama rakan kongsinya, Lokman Chua Abdullah akan memastikan keadaan kolam sentiasa bersih serta mempunyai pengudaraan yang baik bagi memastikan tiada masalah kepada ikan-ikan.

Tambah Shofian, pihaknya berharap SF Aquafarm mampu memberikan kepuasan kepada kaki-kaki pancing agar memenuhi minat mereka selain membawa pulang ikan yang dikail sebagai juadah kepada keluarga masing-masing.

“Kami juga berharap ianya akan menjadi salah satu tarikan kepada aktiviti pelancongan di Kampung Telok Kerang dengan kedatangan pemancing dari luar Pontian,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya