PUTRAJAYA: Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) disifatkan tepat pada masa sebagai usaha melindungi nyawa dan kesihatan sejumlah tujuh juta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja dalam pelbagai sektor industri dan jenis pekerjaan di negara ini.
Ahli Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, ia merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan transformasi perundangan selari dengan keperluan semasa, mengambil kira usia akta itu menjangkau 27 tahun sejak kali pertama digazetkan pada 25 Februari 1994.
Katanya, pindaan akta itu mengandungi 55 fasal merangkumi penambahan 27 seksyen baharu, pemotongan dua seksyen dan pindaan terhadap 35 seksyen sedia ada serta mengintegrasikan Akta 139 (Akta Kilang dan Jentera 1967).
“Tidak dapat dinafikan sejak Akta 514 ini dikuatkuasakan, pelbagai kesan positif dan kejayaan dicapai, terutamanya dalam penurunan kadar kematian serta kadar kemalangan di tempat kerja sebagaimana dilaporkan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) setiap tahun.
“Bagaimanapun, ekosistem pekerjaan banyak berubah dari segi teknologi dan proses kerja jika dibandingkan dengan 27 tahun lalu. Maka, sudah tepat masanya pindaan Akta 514 disokong untuk diperbaharui selaras dengan perkembangan landskap pekerjaan semasa,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang pindaan Akta 514 dalam persidangan Dewan Negara hari ini.
Menurut Hisamudin, objektif utama pindaan akta berkenaan untuk mengadakan peruntukan bagi pemakaian Akta 514 kepada semua tempat kerja meliputi sektor lebih luas demi menekankan prinsip pencegahan oleh pihak majikan dalam mengenal pasti risiko kesihatan dan keselamatan pekerjaan.
Katanya, pindaan itu turut menggandakan nilai penalti di beberapa seksyen undang-undang tersebut, terutamanya berkaitan dengan tanggungjawab majikan yang bukanlah semata-mata bersifat menghukum, sebaliknya merupakan satu tindakan mencegah daripada pengabaian tanggungjawab di tempat kerja.
“Sekiranya prinsip ini difahami dengan baik oleh semua pihak termasuk pekerja, matlamat akhir untuk mengurangkan kes kemalangan pekerjaan dan penyakit pekerjaan di negara ini boleh dicapai,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pindaan Akta 514 ini juga merupakan satu lagi usaha untuk menyokong komitmen kerajaan dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di bawah agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030 dalam menzahirkan tanggungjawab mempromosikan hak-hak pekerjaan termasuk keselamatan persekitaran pekerjaan kepada semua pekerja.
Kata beliau, Akta 514 ini juga harus didukung sepenuhnya sebagai satu instrumen utama dalam menjayakan segala strategi yang direncanakan menerusi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25) bertujuan menerapkan nilai kebersamaan semua pihak bagi merealisasikan anjakan transformasi dalam sektor Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Malaysia. -UTUSAN ONLINE