Pantau kesihatan guru, pelajar - Utusan Malaysia

Pantau kesihatan guru, pelajar

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (kanan) berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs kepada 30 asnaf dalam kalangan anak kariah di Masjid Al Mukminin, Kota Kayang, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Semua pengetua dan guru besar sekolah di negeri ini disarankan memantau tahap kesihatan guru, kakitangan dan pelajar dengan menjalankan saringan gejala Covid-19 setiap hari.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah tersebut penting bagi memastikan hanya guru, kakitangan dan pelajar sihat sahaja hadir ke sekolah.

Titah baginda, pembelajaran hendaklah dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal antara pelajar, pemakaian pelitup muka dan kerap membasuh tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Pihak sekolah juga hendaklah kerap menjalankan sanitasi persekitaran terutamanya di permukaan yang kerap disentuh.

“Pihak guru juga disarankan meminimumkan pergerakan ke kawasan sesak dalam kehidupan seharian masing-masing kerana mereka juga berpotensi untuk menjadi punca jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar khususnya dalam gelembung asrama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs kepada 30 asnaf dalam kalangan anak kariah di Masjid Al Mukminin, Kota Kayang di sini hari ini.

Para asnaf masing-masing menerima RM700 dengan jumlah keseluruhan RM21,000.

Mengiringi baginda, Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin yakin pihak Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan negeri telah mengambil langkah-langkah yang tepat bagi memastikan sesi pembelajaran dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. 

Titah baginda, bukan hanya pelajar terkesan oleh krisis global tersebut, namun tugas guru juga menjadi semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses pengajaran dilaksanakan secara dalam talian. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN