PETALING JAYA: Maserati melancarkan OTO Retail, cadangan komersial baharu dengan kerjasama rapat pengedar yang menawarkan pelanggan pengalaman inovatif dalam penjualan kederaan tersebut.
Projek ini disertakan dengan alatan digital untuk menyokong jualan, mengekalkan kepentingan peranan pengedar dan membolehkan pelanggan untuk memilih pengalaman pembelian mereka dengan memutuskan aspek mana yang harus dilakukan ketika di bilik pameran Maserati dan selebihnya yang boleh dilakukan secara digital.
Ketua Pegawai Komersialnya, Bernard Loire berkata, Maserati sentiasa memberi tumpuan kepada kemudahan pelanggan, meneruskan sejarah inovasi, tradisi, kualiti dan eksklusif jenama.
“Untuk tujuan tersebut, kami merombak proses jualan kami untuk mencapai evolusi perjalanan pelanggan yang boleh ditemui pada Omni-channel.
“Kami percaya bahawa tawaran baharu ini adalah tindak balas yang tepat kepada kehendak kemewahan baharu pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Pendekatan Omni-Channel dan perjalanan pelanggan dalam talian telah mengubah proses pembelian, terutamanya dalam segmen mewah di mana perkhidmatan digital telah menjadi elemen utama.
Maserati juga bersedia dengan model runcit baharu yang bakal menarik perhatian pelanggan walaupun dijalankan secara digital.
Kedai Maserati di seluruh dunia akan menggunakan reka bentuk baharu ini secara beransur-ansur, mulai tahun depan dengan bilik pameran reka bentuk baharu yang dibangunkan di Milan dan Shanghai.
Penyesuaian perjalanan pelanggan juga menjadi lebih eksklusif, dengan pilihan untuk memasuki program Maserati Fuoriserie, sebahagian daripada konsep runcit baharu jenama itu. – UTUSAN