PETALING JAYA: Pemandu bas yang terlibat kemalangan semasa membawa rombongan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang di Universiti Putra Malaysia (UPM) dihukum penjara seminggu dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Selain itu tertuduh, Mohamad Hamir Masruddin, 44, juga hilang kelayakan untuk memegang atau memiliki lesen memandu selama lima tahun.
Majistret Nur Natasya Mohtarudin mengenakan hukuman sedemikian selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara tambahan selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Hamir didapati memandu kenderaan bas dengan cara yang memandang kepada segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan, luas jalan dan kesesakan lalu lintas yang ada atau mungkin ada di jalan itu) yang berbahaya kepada orang awam.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Persiaran Universiti 1 dekat sini pada pukul 12.18 tengah hari, 2 Ogos lalu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun dan denda minimum RM5,000 serta tidak lebih RM15,000.
Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd. Rozi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes semasa kejadian.
Bagaimanapun, Mohamad Hamir yang tidak diwakili peguam bela kemudian memohon hukuman yang ringan atas alasan bekerja sendiri, mempunyai anak yang masih bersekolah dan ibu yang sakit.
“Saya hanya kerja sambilan. (Jadi) kalau ada kerja, adalah gaji. Ibu di kampung sakit,” katanya.
Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan, punca kemalangan membabitkan bas rombongan pelajar Pasti Ampang di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini adalah akibat pemandunya dipercayai terlelap kerana keletihan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki tempatan berusia 44 tahun itu berada dalam keadaan tidak cukup rehat ketika memandu.
Bas membawa 30 murid dan enam guru Pasti Ampang itu terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Persiaran Universiti 1, UPM. Tiga murid dan seorang guru mengalami kecederaan ringan pada kepala dan dirawat di Hospital Serdang.
Ketika kejadian, rombongan itu dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.-UTUSAN











