PARLIMEN: 37 kampung tradisi masih wujud di KL

PARLIMEN: 37 kampung tradisi masih wujud di KL

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 37 penempatan kampung tradisi berkeluasan 1,004 hektar di Kuala Lumpur dikenal pasti menerusi Plan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 31 kampung dengan keluasan 1,660.12 hektar didiami oleh majoriti penduduk Melayu.

“Sebanyak 11 kampung dengan keluasan 701.95 hektar pula terletak dalam kawasan rizab Melayu.

“Jumlah keseluruhan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur adalah 1,004 hektar yang merangkumi pelbagai jenis guna tanah berdasarkan pewartaan Pejabat Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN- Jasin) mengenai jumlah keluasan penempatan tradisi Melayu dan rizab Melayu yang masih wujud di Wilayah Persekutuan.

Zaliha berkata, kesemua kampung tradisi telah diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Kampung Tradisi, Kampung Potensi Pembangunan dan Kampung-Kampung Lain termasuk Kampung Baru.

Jelasnya, antara fokus utama PSKL 2040 adalah memastikan pengekalan penduduk Melayu di Kuala Lumpur dengan penetapan kuota minimum 40 peratus bagi projek persendirian dan 70 peratus melibatkan projek kerajaan atau usaha sama.

“Kuota ini telah ditetapkan ke atas semua kelulusan perancangan tanpa mengambil kira lokasi yang tertakluk kepada bentuk pembangunan. Bagi rizab melayu, pematuhan pemilikan 100 peratus mesti dihuni oleh penduduk melayu tanpa sebarang kompromi.

“Antara strategi sedang diterokai di tanah rizab Melayu adalah seperti komponen rumah mampu milik Melayu, kedai mampu milik Melayu dan perindustrian ringan mampu milik Melayu yang akan diperkenalkan. Bagaimanapun, cadangan ini masih di peringkat awal kajian dan perlu merujuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata, tiada istilah tanah rizab Melayu di Putrajaya manakala di Labuan menggunakan istilah tanah Anak Negeri di bawah enakmen Mahkamah Anak Negeri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN