RANTAU PANJANG: Harga getah ketika ini masih di bawah RM3 sekilogram, namun bagi Wahid Abdul Rashid, 66, menoreh getah masih lagi berbaloi berbanding kerja asalnya sebagai pemandu teksi.
Ini kerana hasil pendapatan diperoleh dengan memandu teksi atau dipanggil kereta sewa di sekitar pekan ini sudah berbulan-bulan mencapai tahap ‘sifar’ selepas negara diserang pandemik Covid-19.
Kata warga emas itu, dia terpaksa ‘menggantung’ kunci kereta sewa miliknya dan bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri Zaharah Che Awang, 67, dia memilih untuk menoreh getah.
“Sebelum ini pendapatan saya sekitar RM1,000 sebulan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga sekarang, pendapatan terjejas teruk, jadi saya menoreh getah walaupun hasilnya juga tidak menentu.
“Lebih perit lagi apabila musim tengkujuh bermula bulan lepas, saya ‘putus’ mata pencarian sekali lagi kerana tidak dapat keluar menoreh pula,” katanya kepada pemberita di Stesen Kereta Sewa Rantau Panjang di sini hari ini.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Daerah Rantau (PPKSDRP) Che Abdul Rahim Che Razak, 61, berkata, kebanyakan ahli persatuan itu kini bekerja sebagai penoreh getah, tukang rumah atau kelindan lori.
Katanya, PPKSDRP sendiri tidak dapat menjalankan fungsinya selama ini untuk membantu atau membela nasib ahlinya kerana kekurangan dana, selain turut dibebani hutang dengan agensi kerajaan.
“Saya berharap pihak berkenaan sama ada agensi kerajaan negeri atau Pusat dapat turun padang membela nasib kami pemandu-pemandu kereta sewa di sini yang teruk terkesan selepas pintu sempadan negara ditutup.
“Selama ini, rakyat Thailand yang berulang-alik melintasi sempadan merupakan pengguna utama perkhidmatan kereta sewa di sekitar Rantau Panjang untuk ke pelbagai lokasi terutama Kota Bharu.
“Apabila pintu sempadan Kelantan-Thailand ditutup bagi mengekang penularan Covid-19, periuk nasi kami juga tertutup sama,” keluhnya. -UTUSAN ONLINE