Mangsa banjir tidur berlantaikan bumi, berbumbungkan langit - Utusan Malaysia

Mangsa banjir tidur berlantaikan bumi, berbumbungkan langit

Norlaila Ali membersih dan menyusun kembali barangan kedai runcitnya yang sempat diselamatkan dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Timun, di sini, semalam. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU : Seramai 11 sekeluarga termasuk seorang warga emas berusia 86 tahun di Kampung Sungai Timun, di sini, terpaksa tidur berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit awal pagi Sabtu lalu apabila rumah mereka ditenggelami banjir hampir dua meter.

Pesara tentera, Omar Aziz, 51, berkata, kejadian berlaku begitu pantas kira-kira 12 tengah malam dan dia sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke jalan raya berdekatan rumah yang terletak di kawasan lebih tinggi.

Menurutnya, pasukan penyelamat sukar sampai ke perkampungannya memandangkan laluan utama ditenggelami banjir serta tidak selamat untuk dilalui kecuali menggunakan bot.

“Dengan keadaan tak sempat selamatkan barang-barang, malam pertama kami tidur sahaja di atas jalan. Kemudiannya, setelah bantuan tiba, kami memperoleh khemah untuk berlindung.

“Kami tak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) memandangkan banyak barangan di rumah selain terdapat 25 ekor ternakan kambing yang sempat diselamatkan menggunakan lori,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Timun, di sini, semalam.

Omar berkata, dalam kejadian berkenaan, pelbagai barangan rosak serta tidak dapat diselamatkan seperti televisyen, kerusi, almari, baju dan lain-lain lagi.

Menurutnya, dia juga berasa lega apabila ada pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil bagi menghulurkan bantuan termasuk pakaian.

“Pakaian habis basah, berlumpur jadi apabila terima bantuan pakaian kami sekeluarga sangat bersyukur,” katanya yang telah memulakan kerja-kerja pembersihan rumah.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norlaila Ali, 59, berkata, kejadian banjir kali kedua dalam tempoh dua bulan berkenaan agak teruk sehingga dia mengalami kerugian besar apabila barangan kedai runcitnya serta peralatan rumah rosak ditenggelami banjir.

“Dari pukul 12 tengah malam hingga ke Subuh, Sabtu lalu, kami anak-beranak cuba memindahkan barangan runcit ke dalam lori untuk diletak di tempat yang lebih tinggi namun ada juga barang yang tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.

Menurutnya, dia sekeluarga kini bergotong-royong membersihkan kedai runcit dan rumah walaupun berhadapan dengan masalah ketiadaan bekalan elektrik sejak banjir Sabtu lalu.

“Bertemankan lilin, kami tetap juga tinggal di kawasan yang lebih tinggi berdekatan rumah pada waktu malam. Bukan tidak mahu berpindah ke PPS, tetapi terlalu banyak barangan runcit di sini yang perlu dijaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×