PETALING JAYA: Jumlah pelajar yang terlalu ramai dalam sesebuah kelas membimbangkan ibu bapa terhadap kemungkinan anak mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Norani Borhan, 46, berkata, dalam keadaan itu, jika anaknya tidak menerima ilmu disampaikan,dia tidak boleh menyalahkan guru sepenuhnya sebaliknya ia lebih kepada persekitaran yang menghalang fokus penyampaian.
“Kadang-kadang cara penyampaian atau teknik guru mengajar sudah bagus tetapi saya pasti dengan bilangan pelajar melebihi kapasiti sepatutnya ia akan mengurangkan fokus pelajar kepada proses penyampaian.
“Suasana kelas perlu berada dalam keadaan yang tidak sesak dan selesa bagi pelajar mendapatkan ilmu, jika bilangan pelajar sehingga mencecah 35 dan hanya satu guru mengawal, bukankah akan berlaku kekecohan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Senada dengan pendapat itu, Anita Nawi, 46, turut meluahkan kebimbangannya terhadap proses penyampaian ilmu jika kapasiti kelas melebihi jumlah sepatutnya.
“Saya tidak yakin dengan ratio kelas yang melebihi kapasiti pelajar, jika kita lihat di sekolah swasta hanya 24 pelajar untuk satu kelas. Berbanding dengan kelas di sekolah awam, ada yang hingga 44 pelajar. Jadi saya rasa fokus penyampaian itu mungkin mencecah 60 peratus sahaja,” jelasnya.
NoorBainizam Zulkifli, 34, masalah keciciran mudah berlaku jika kapasiti kelas terlalu ramai.
“Anak saya ada memberitahu dia sukar untuk fokus semasa sesi pembelajaran dalam kelas kerana suasana kelas yang tidak selesa,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar tingkatan empat dan darjah dua yang ingin dikenali sebagai Edah, 51, menyuarakan kebimbangannya melihat kos pengangkutan untuk anaknya ke sekolah yang semakin meningkat.
“Tambang van agak mahal, ada pemandu yang mengambil sehingga lebih RM60 bagi seorang pelajar sebulan,” jelasnya.
Norfadzilatul Zaleha Khalid, 36, pula berkata, dia terpaksa menghantar anaknya ke luar daerah bagi menghadiri sesi persekolahan kerana tiada sekolah yang berdekatan dengan rumahnya.
“Saya kena menghantar anak saya ke sekolah di luar kawasan iaitu jarak dari kediaman saya ke sekolah hingga lima kilometer,” jelasnya. -UTUSAN










