Hitam putih warna kota dalam Prebet Sapu - Utusan Malaysia

Hitam putih warna kota dalam Prebet Sapu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARYA hebat ini banyak menyentuh realiti dan norma kehidupan masyarakat kini, yang secara tidak langsung membuatkan filem ini dekat di hati penonton.

Prebet Sapu, dengan jalan cerita sederhana berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur, namun ia menjadi refleksi penting kepada kita semua untuk melihat kembali kehidupan masyarakat kota, tentang apa yang telah dilalui pada masa lalu dan bagaimana kita perlu membina masa hadapan.

Filem ini merupakan antara naskhah penting yang wajar diberi perhatian. Maka tidak hairanlah ia mendapat tempat sebagai penyertaan rasmi Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscars) ke-94 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Karya arahan Muzzamer Rahman yang diterbitkan oleh Kristal Azmir Sdn Bhd, Le Mediator Studio Sdn. Bhd. dan Konda Kondi Studios Sdn. Bhd. ini telah dipilih oleh barisan juri profesional yang dilantik oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi mewakili Malaysia ke anugerah berkenaan yang dijangka berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 27 Mac tahun depan.

Filem sulung arahan Muzzamer ini menampilkan Amerul Affendi dan Lim Mei Fen sebagai teraju utama dan turut menampilkan penampilan khas beberapa artis ternama tanah air seperti Bront Palarae, Sharifah Amani, Nadiya Nisa, Nam Ron, Chew Kin Wah dan ramai lagi.

Menurut Muzzamer, naskhah ini mengisahkan perjuangan kehidupan anak muda meneruskan kehidupan di ibu kota.

“Ceritanya berkisar tentang kisah anak muda lulusan universiti, namun tiada kerja untuk mereka. Ini berkenaan realiti anak muda pada zaman ini. “

Aman (Amerul) yang menganggur selepas kematian bapanya, kembali ke Kuala Lumpur dan memulakan perkhidmatan e-hailing secara haram.

“Selepas dihalau keluar daripada bilik sewa, dia kemudian berjumpa dengan Bella (Mei) yang menawarkannya tempat tinggal,” kongsinya.

Untuk makluman, naskhah ini dihasilkan oleh sekumpulan pembikin filem generasi baharu yang kesemuanya mengikuti pengajian perfileman secara formal.

Penerbit filem ini ialah Azharul Azmir Kamarulzaman, Bebbra Mailin selain Muzzamer Rahman sendiri.

Menurut pelakon berbakat besar, Amerul Affendi yang memegang watak sebagai Aman menitipkan harapan agar karya tempatan ini dapat membuka mata penonton di luar sana untuk melihat dan menilai kembali kehidupan yang telah dilalui, khususnya kepada warga kota.

Ini gambaran realiti majoriti masyarakat kini yang sedang berjuang dan bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang sukar, terutama dalam kondisi ekonomi dan politik negara hari ini.

Oleh hal demikian, naskhah Prebet Sapu ini sedikit sebanyak membuka ruang fikir tentang Malaysia yang bagaimana yang sedang kita diami dan Malaysia yang bagaimana mahu kita bina.

“Filem ini telah banyak mengembara menyertai pelbagai festival filem di luar negara. Bagaimanapun, keutamaan utama kami adalah agar filem ini dapat ditonton oleh penonton di negara kita sendiri. Filem ini tentang kita, dan untuk kita semua.

“Jadi bagi saya, filem ini harus ditonton untuk sama-sama kita mencermin diri.

“Maka, saya berharap filem ini dapat membuka mata tentang pelbagai perkara dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Kongsi pelakon ini juga, dia menzahir rasa gembira kerana dapat membawa watak Aman dengan sempurna, dibantu oleh kesediaan pihak penerbit menyediakan jurulatih lakon dalam membantu proses beliau mendalami watak terbabit.

“Saya gembira kerana dalam produksi ini, kami dapat menjalankan produksi dengan gerak kerja yang betul.

“Ia perkara yang sangat penting dalam membolehkan kita menghasilkan hasil karya yang berkualiti. ujarnya.

Walaupun diterbitkan dengan bajet yang kecil, pelakon Lim Mei Fen yang memegang watak sebagai Bella dalam filem ini menyifatkan pencapaian Prebet Sapu adalah satu sesuatu yang tidak diduga.

Ia kerana, pelakon jelita itu tidak menyangka projek yang dimulakan dengan cukup sederhana dapat diterima bagi menyertai pelbagai festival filem antarabangsa serta terpilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia ke anugerah tersohor itu.

“Prebet Sapu adalah sebuah kerja keras seluruh produksi. Penerbitannya mengambil masa hampir empat tahun, bermula pada tahun 2017 dengan sumber kewangan yang sangat terhad, hingga berjaya disempurnakan pada penghujung 2020 lalu setelah mendapat bantuan FINAS.

“Kami percaya filem ini adalah sesuatu yang berbaloi untuk diusahakan. Walau berdepan pelbagai masalah, ia bukan penghalang untuk kami berusaha menyiapkan filem ini,” tuturnya ketika ditemu bual.

Filem penting ini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Disember yang lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya