Hanya dua sekolah tampung 13 taman di Putra Permai - Utusan Malaysia

Hanya dua sekolah tampung 13 taman di Putra Permai

RANCANGAN perumahan baharu perlu memasukkan pembangunan sekolah sebagai salah satu komponen utamanya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Jumlah murid sehingga 40 orang dalam satu kelas boleh mengganggu tumpuan pembelajaran meng­a­kibatkan sebahagian murid ke­tinggalan dalam pelajaran.

Itu antara risiko yang berlaku di Bandar Putra Permai di sini apabila hanya terdapat dua sekolah bagi sekolah rendah dan dua sekolah menengah di kawasan ini selain sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) bagi menampung jumlah penduduk semakin meningkat ekoran banyak taman perumahan sekitar termasuk kediaman bertingkat.

Bandar Putra Permai mempunyai kira-kira 13 taman perumahan sekitarnya antaranya Taman Desaminium, Taman Equine, Taman Lestari Putra, Lestari Perdana dan Taman Puncak Jalil yang mempunyai kira-kira lebih 200,000 penduduk.

Dua sekolah ini iaitu sekolah rendah dan menengah perlu diadakan dua sesi pagi dan petang kerana bangunan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan murid jika sesi pembelajaran dibuat serentak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Taman Desaminium (SKTD), Mohd. Aswardi Kong berkata, sekolah itu disifatkan sangat padat iaitu sekitar 2,300 murid dengan satu kelas mempunyai sehingga 40 orang murid.

Katanya, situasi ini berlaku kerana ibu bapa yang tinggal di sekitar taman perumahan di sini tidak ada pilihan lain untuk menghantar anak kerana tiada sekolah berdekatan.

“Jika permohonan untuk memasuki sekolah ini ditolak, mereka akan dihantar ke satu lagi sekolah iaitu SK Taman Universiti. Ramai tak mahu ke­rana jauh, namun tiada pilihan.

“Begitu juga penduduk di Taman Puncak Jalil. Di situ hanya ada sekolah menengah, jadi murid sekolah rendah pun sekolah di SKTD,” katanya di sini semalam.

Aswardi turut memberitahu, beliau difahamkan sebuah lagi sekolah rendah di Taman Puncak Jalil akan dibina, namun sehingga sekarang belum nampak lagi sebarang pembangunan.

Ini termasuk katanya, cada­ngan penambahan blok bangunan baharu di SKTD yang juga masih menunggu kelulusan untuk pembinaan.

Mengulas isu sama, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Taman Desaminium, Rosman Zulkifli berkata, isu kepadatan murid di sekolah itu sedikit berkurangan selepas diadakan dua sesi pembelajaran bagi mengurangkan jumlah murid dalam satu kelas yang melebihi 40 orang.

Bagaimanapun katanya, timbul isu lain pula apabila lokasi sekolah yang hanya mempunyai satu jalan keluar masuk menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas setiap kali waktu masuk dan pulang dari sekolah.

Apatah lagi katanya, peng­usaha bas sekolah terpaksa membuat tiga kali pusingan untuk menghantar murid-murid bagi mengelak kesesakan supaya murid dapat sampai sekolah tepat pada waktunya.

“Sejak sekolah ini dibina 2011, banyak rungutan daripada penduduk supaya dibina satu lagi jalan keluar masuk sebagaimana dalam pelan asal kawasan ini, namun sehingga sekarang tidak dilaksanakan walaupun banyak kali dibangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya juga difahamkan sepatutnya kawasan ini terdapat dua lagi sekolah tetapi masih tidak dibina, jadi kami berharap ada tindakan serius daripada pihak kerajaan, Kementerian Pendidikan mahupun PBT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN