Caturan orang politik, gurauan Bob Hope - Utusan Malaysia

Caturan orang politik, gurauan Bob Hope

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIKI Balarik, antara 30 calon Bebas bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini. Dia menghadapi saingan empat penjuru termasuk dengan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Liwan Lagang.

Dalam biodata calonnya, Siki berterus terang, dia adalah ahli jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak merangkap Ketua Bahagian Bersatu Hulu Rajang.

Walaupun sekadar calon Bebas, Siki hakikatnya mewakili Bersatu. Dua lagi rakan Siki dari Bersatu, Ricky Enteri dan Ismawi Muhammad masing-masing bertanding di calon Bebas di Bawang Assan dan Muara Tuang.

Ricky mendakwa, dia tidak dipedulikan Bersatu meskipun bergiat sebagai aktivis parti itu.

Ismawi pula yang juga Ketua Bahagian Bersatu Samarahan, alasannya: “Saya tanding Bebas sebab Bersatu Pusat tak masuk PRN. Lama sudah saya mahu tanding.”

Siki, Ricky dan Ismawi barangkali ‘terlepas pandang’ berbanding Datuk Ali Biju dari kumpulan calon Bebas Bersatu yang didakwa cuba ‘tikam belakang’ GPS.

Mungkin itulah yang dipersoalkan Ahli Parlimen Puncak Borneo dari Bersatu sendiri, Datuk Willie Mongin: “Anda semua seharusnya ikut jejak Ali (tarik diri dan sokong GPS).”

Dalam politik segalanya mungkin. Apabila Ali mendakwa GPS akan beri laluan kepadanya bertanding kerusi Parlimen Saratok dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, adakah Ali kelak memakai tiket Bersatu? Dalam PRN12 ini tak pula Bersatu masuk gelanggang, tapi PRU15 boleh pula?

Hairan, ada pula syarat tarik diri Ali kepada GPS. Termaktubkah dalam perjanjian Bersatu-GPS diperkatakan Ali itu?

Harus diingat, selagi keputusan penuh PRN12 tak muncul pada malam 18 Disember nanti, GPS belum menang. Bila Ali dan tiga rakannya ‘buat hal’, itu boleh jadi empat kerusi dalam tangan pembangkang andai menang.

Belum lagi saingan sengit diterima GPS dari DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB). Ingat, nilai satu kerusi tinggi harganya. Bak kalah penalti atau tipis 0-1 Brazil pun sah kalah walaupun Selecao bermain cantik.

Sejenak, teringat gurauan Bob Hope, penghibur Hollywood. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan – ‘sehinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN