Beri peluang koperasi sertai bidang pemasaran, jangan hanya syarikat besar - Utusan Malaysia

Beri peluang koperasi sertai bidang pemasaran, jangan hanya syarikat besar

ABDUL FATTAH Abdullah (dua dari kanan) sedang memberikan makanan ikan patin dan tilapia ketika melawat Projek Pembenihan Ikan Air Tawar Koperasi Tunas Lada di Dusun Kalong Ulu Cheka di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) meminta kerajaan jangan pilih kasih sebaliknya turut memberikan peluang serta tanggungjawab kepada gerakan koperasi terlibat dalam bidang pengeluaran dan pemasaran barang.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerajaan seolah-olah kurang yakin dengan pengurusan koperasi walaupun sudah menghampiri usia 100 tahun, tetapi gerakan itu mampu dan berdaya saing dalam bidang pengeluaran dan pemasaran barang khususnya ketika berdepan tempoh pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh, dasar pengeluaran makanan dalam tempoh pandemik ini, kerajaan masih memberikan peluang syarikat besar dan pihak tertentu sebagai pemasar sehingga wujudnya kartel yang mendominasi pasaran sehingga menyebabkan kenaikan harga barang seperti hasil pertanian dan ternakan.

“Senario ini wujud kerana kerajaan masih tidak melihat peranan atau menggunakan koperasi bagi tujuan tersebut sehingga kebanyakan gerakan koperasi yang terbabit tersisih kerana semata-mata memberikan peluang kepada syarikat dan pihak tertentu mendominasi peluang berkenaan,” katanya selepas melawat Projek Pembenihan Ikan Air Tawar Koperasi Tunas Lada Jerantut di Dusun Kalong Ulu Cheka dekat sini hari ini.

Abdul Fattah berkata, sejumlah 14,629 buah koperasi di seluruh negara hanya melaksanakan aktiviti pengeluaran dan pemasaran menerusi dasar daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), tetapi, jarang sekali diberikan peluang yang saksama oleh kementerian lain.

“Sepatutnya seramai 6.5 juta orang ahli yang aktif menerusi perniagaan makanan, pertanian dan ternakan, nelayan, usahawan pelbagai bidang dan sebagainya wajar diberi peluang menerusi gerakan koperasi masing-masing melebarkan lebih banyak pemasaran serta menerima kemudahan inisiatif kerajaan dalam tempoh pemulihan Covid-19 dan selepas ini.

“Apabila gerakan koperasi diberi pelbagai peluang oleh semua jentera kerajaan, bermakna sekurang-kurangnya kita boleh menghindarkan kenaikan harga barang serta tidak wujud kartel sebagai orang tengah yang mengaut banyak keuntungan,” katanya.

Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) selanjutnya menjelaskan, berasaskan jumlah perolehan yang disumbangkan oleh gerakan koperasi pada tahun ini, iaitu sebanyak RM41.5 bilion dan RM45.8 bilion tahun sebelumnya menunjukkan gerakan koperasi masih berdaya tahan serta mampu terlibat sepenuhnya dalam kegiatan pemasaran.

“Angkasa juga giat menyarankan koperasi untuk mempelbagaikan perniagaan dan melibatkan diri dalam sektor pemborongan serta peruncitan melalui Projek Barang Asas 100 (BA100) dengan menyasarkan penglibatan 3,000 buah koperasi pada tahun ini sebagai usaha menggalakkan perniagaan berasaskan pendigitalan,” katanya.

Selanjutnya, beliau menambah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi yang diperuntukkan bernilai RM20 juta bagi menggalakkan usahawan yang terjejas untuk menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan amat bertepatan bagi mempergiatkan semula perniagaan khususnya mengurangkan tekanan kenaikan harga barang.

“Matlamat perniagaan gerakan koperasi tidak akan tercapai sepenuhnya sekiranya kerajaan masih memfokuskan syarikat dan kumpulan tertentu sahaja sebagai ejen atau pemasar barang makanan walaupun koperasi sama ada besar atau kecil mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“Kerajaan perlu memandang semula peranan koperasi yang selama ini diwujudkan untuk memberikan peluang perniagaan kepada Bumiputera dan bukannya kedudukan masih di takuk lama yang hanya memperoleh pulangan kecil berbanding syarikat besar dan kumpulan tertentu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya