LANGKAWI: Permintaan coklat yang tinggi dalam kalangan pelancong menyebabkan berlaku kekurangan bekalan coklat di premis perniagaan di pulau peranginan ini.
Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke pulau ini didapati mengambil kesempatan membeli coklat import dalam kuantiti yang banyak untuk dibawa pulang.
Sementara itu, tinjauan di Kompleks Haji Ismail Group (HIG) di Kuah di sini mendapati, kebanyakan rak coklat import kosong atau diletakkan coklat lain yang masih ada.
Pengurus Outlet Kawasan Kompleks HIG, Mahmuzi Osman berkata, kekurangan bekalan coklat import tersebut disebabkan pembekal dari Singapura yang difahamkan tidak membuat tempahan coklat dalam jumlah banyak sehingga berlaku kekurangan bekalan.
“Apabila Langkawi mula diserbu pelancong dan coklat habis diborong oleh pelanggan, kami mula memesan coklat daripada pembekal.
“Tetapi disebabkan bekalan coklat menggunakan kapal laut dan perlu melalui Singapura, maka coklat lambat sampai ke Langkawi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau menambah, bekalan coklat import sudah mula diterima sejak minggu lalu namun biasanya terus habis diborong sebaik sahaja diletakkan di rak.
Seorang pelancong dari Kulai, Johor, Mohd. Nur Razmi Dubli, 32, berkata, dia terkejut melihat rak coklat kosong ketika berkunjung di sebuah premis perniagaan yang menjual coklat di sini.
“Agak kecewa sebab tidak banyak pilihan coklat boleh dibeli untuk dibawa balik.
“Saya akan berada di Langkawi sehingga Sabtu nanti, jadi saya akan cuba mencari coklat di kedai-kedai lain,” ujarnya.
Seorang lagi pelancong dari Sitiawan, Perak, Rohani Abdul Majid, 52, berkata, dia terpaksa membeli apa sahaja coklat yang ada sebagai buah tangan untuk anak-anaknya.
“Anak-anak memesan coklat Daim dan Hersheys tetapi semua coklat tersebut telah habis.
“Jadi saya beli coklat yang ada saja kerana akan pulang esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE









