Ambil tindakan undang-undang terhadap JMB - Exco - Utusan Malaysia

Ambil tindakan undang-undang terhadap JMB – Exco

MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mencadangkan para peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan di sini mengambil tindakan undang-undang terhadap badan pengurusan bersama (JMB) yang gagal melaksanakan tanggungjawab sewajarnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ini kerana bazar itu berada di bawah pihak pengurusan swasta.

Menurut beliau, disebabkan perkara tersebut telah lama berlaku, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik yang bertanggungjawab terhadap bangunan tersebut.

“Saya baru dapat makluman ini, (Bazar Kraftangan) di bawah pengurusan swasta. Tapi, kami akan mengambil tindakan, paling tidak pun tanggungjawab sebagai pemilik bangunan.

“Pihak peniaga juga harus mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak JMB,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan keluhan peniaga di Bazar Kraftangan yang terpaksa berdepan bau busuk dan banjir air kumbahan akibat daripada kegagalan saliran pembentungan sejak 17 tahun lalu.

Sikap lepas tangan JMB terlibat bukan sahaja melibatkan saliran kumbahan, malah, tandas, surau dan bumbung di Bazar Kraftangan juga tidak diselenggara dengan baik.

Terdapat 75 peniaga aktif di tapak berkenaan yang membayar yuran penyelenggaraan lebih daripada RM180 sebulan.

Keadaan itu juga mencalarkan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan terkemuka kerana memperlihatkan  keadaan kotor dan berbau busuk. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN