KOTA KINABALU: Politik Malaysia tidak boleh menolak hakikat bahawa elemen ‘abang besar’ atau parti dominan dalam gabungan politik akan kekal sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Romzi Ationg berkata, dalam Barisan Nasional (BN), UMNO kekal dominan, begitu juga dalam Pakatan Harapan (PH) yang memperlihatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih dominan.
“Situasi ini rasanya akan kekal relevan sekurang-kurangnya untuk tempoh yang lebih lama biarpun selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya yakin parti dominan ini masih lagi relevan kerana komposisi politik di negara ini masih bertunjangkan kaum tertentu,” katanya.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Khidmat Komuniti) UMS berkata, terpulang kepada mana-mana pemimpin politik untuk menilai kerelevanan parti dominan ini kerana hakikatnya elemen ‘big brother’ akan terus ketara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Senada dengan Romzi ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang yang menyatakan kewujudan parti dominan dalam gabungan politik masih perlu.

Namun, ia bergantung kepada kompromi politik parti masing-masing untuk memastikan gabungan politik berfungsi demi kepentingan rakyat menjangkaui kepentingan parti.
Menurut Tony, pasca PRU-14 memberi impak besar kepada landskap politik negara. Jika dahulu, dominasi parti dalam sebuah pakatan politik sangat signifikan khususnya dalam BN.
“Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti dominan tidak lagi relevan mungkin disebabkan situasi politik semasa yang tidak stabil dan agak rapuh tetapi realitinya ialah ia masih jadi pegangan semua parti,’’ katanya. – UTUSAN










