172 anggota penguat kuasa KPDNHEP pantau harga   - Utusan Malaysia

172 anggota penguat kuasa KPDNHEP pantau harga  

WAN Romani Wan Salim (kiri) bersama Mohd. Sharhan Mohd. Arshad melihat tanda harga telur ayam ketika melakukan walkabout SHMKM di Lotus Kulim, Kulim hari ini. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seramai 172 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah akan menjalankan pemantauan harga di premis perniagaan seluruh negeri ini pada sepanjang Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang bermula dari 7 hingga 31 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, anggota penguat kuasa itu melibatkan anggota dari enam buah cawangan KPDNHEP di negeri ini.

Katanya, pemantau itu meliputi harga yang ditetapkan ke atas 12 jenis barangan seperti ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga yang didapati gagal mematuhi harga yang ditetapkan KPDNHEP dalam tempoh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas program walkabout Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia Negeri Kedah di Lotus Kulim di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Mohd. Sharhan Mohd. Arshad. 

Dalam pada itu, Wan Romani memberitahu, pihak KPDNHEP mendapati harga beberapa jenis barangan yang ditetapkan itu dalam skim tersebut dijual dengan lebih murah.

“Ini menunjukkan perkembangan yang positif apabila ada pihak yang menjual lebih murah daripada harga yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, terdapat pasar raya yang dikesan menjual cili merah pada harga RM12.99 sekilogram sedangkan harga yang ditetapkan sebanyak RM17 sekilogram.

Pada 7 Disember lalu, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pelaksanaan SHMKM merupakan antara langkah menstabilkan harga dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran. 

Menurutnya, kerajaan prihatin dan serius menangani isu kenaikan harga barangan keperluan yang melanda negara ketika ini.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN