Tinggalkan kerjaya tetap buka kios nanas layan diri - Utusan Malaysia

Tinggalkan kerjaya tetap buka kios nanas layan diri

YAZID Rasmin berada di lokasi kiosk jualan buah nanas MD2 yang diusahanya di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian, Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Meninggalkan kerjaya dalam sektor perindustrian dengan pendapatan RM5,000 sebulan bukan satu penyesalan kepada seorang anak muda demi mencari kepuasan setelah puas bekerja ‘makan gaji’.

Ternyata langkah diambil Yazid Rasmin, 35, cukup berani kerana kehidupannya dari kecil sehingga dewasa tidak pernah dikelilingi dengan tanaman nanas bahkan tidak kenal pun tanaman tersebut secara dekat.

Namun, setelah mendirikan rumah tangga pada usia 29 tahun, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan usaha menjual buah nanas sejak 8 Julai 2017 melalui kaedah ‘jualan bonet’ dengan berniaga tepi jalan di Kampung Parit Panjang ke Bukit Batu Kulai.

“Itulah permulaan saya terlibat dengan tanaman nanas bagi buah varieti MD2 yang menjadi tarikan utama kepada pembeli pada ketika ini untuk membelinya terus dari pekebun kecil.

“Di Kampung Parit Panjang ini sahaja terdapat 18 gerai yang menjual buah nanas MD2 segar terus kepada pelanggan di samping tanaman jagung, keladi dan pisang sebagai pendapatan utama mereka,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, semalam.

Tambah Yazid, bagi memastikan bekalan mencukupi, dia kini mempunyai kebun nanas MD2 seluas 20 ekar yang dimiliki oleh keluarganya di Kampung Parit Kahar dan Kampung Parit Panjang.

“Semua ini berlaku dalam tempoh empat hingga lima tahun dengan keazaman untuk membuktikan bahawa ada pihak yang kurang yakin kebolehan yang ada pada diri saya kurang tepat.

“Malah, dengan keuntungan diperolehi, saya membina beberapa kemudahan seperti surau, tandas awam serta wakaf bagi memudahkan orang ramai yang datang ke kios saya seperti mini RnR,” katanya yang turut menjadikan Facebook sebagai medium pasaran utama.

Selain itu, Yazid turut menawarkan konsep layan diri dengan meletakkan sebuah penimbang, mesin kira, plastik pembungkus dan mempamerkan harga bagi sekilogram buah nanas MD2 untuk membolehkan pelanggan membeli dengan membayar secara tunai atau QR Pay.

“Ia satu kelainan kerana saya tiada pembantu jualan dan kadangkala berada di luar kawasan bagi urusan penghantaran buah nanas MD2 kepada cawangan Nanas Segar Ayer Baloi di Johor Bahru dan Muar,” ujarnya.

Menurutnya, selain menjual buah nanas MD2, dia juga menjual jus nanas varieti itu dengan harga RM5 sebotol, asam boi nanas MD2 dengan harga RM12 serta jualan ais krim Malaysia berharga RM1 sebatang.

Manakala pada setiap Jumaat bermula pukul 3 petang, kiosk Yazid menyediakan makanan percuma berupa nanas potong dan jus nanas sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung.

Kata Yazid, semua yang ditampilkan sebagai satu persaingan yang sihat dalam kalangan peniaga buah nanas MD2 di kampungnya dan terserahlah kepada kreativiti masing-masing untuk memajukan gerai masing-masing. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya