MISSISSIPPI: Seorang hakim persekutuan di Mississippi mengenakan tindakan tatatertib yang tegas terhadap empat peguam dalam satu perbicaraan sivil selepas mereka dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memalsukan rujukan kes perundangan.
Ekoran tindakan tidak bertanggungjawab itu, kesemua empat peguam berkenaan digugurkan terus daripada mengendalikan kes tersebut serta dikenakan denda dengan dua daripada mereka dikenakan hukuman sekatan selama dua tahun daripada menghadirkan diri di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) bagi Wilayah Utara Mississippi.
Kes sivil berkenaan berpunca daripada tuntutan saman pelanggaran kontrak pada 2023 berhubung isu yuran guaman oleh seorang peguam dari Louisiana, Tom Withers III yang mendakwa beliau tidak pernah dibayar oleh pihak berkuasa bandar Aberdeen, Mississippi berkaitan satu projek pembangunan tenaga solar.
Withers bagaimanapun bukan sebahagian daripada peguam yang dikenakan tindakan disiplin tersebut.
Tindakan tegas itu sebaliknya dijatuhkan ke atas dua peguam yang mewakilinya iaitu Kathleen M. Wilson dan Shauncey Hunter Ridgeway, serta dua peguam yang mewakili pihak bandar Aberdeen iaitu Kathryn Y. Williams dan Mark McClinton.
Menerusi perintah mahkamah yang difailkan pada 8 Jun, Hakim Kanan Mahkamah Daerah AS, Sharion Aycock menegaskan kesemua empat peguam terbabit melanggar Peraturan 11 Prosedur Sivil Persekutuan apabila mereka mengesahkan maklumat di dalam dokumen pemfailan mahkamah kononnya adalah berasaskan fakta yang sahih.
Aycock berkata, Wilson memaklumkan kepadanya beliau menggunakan First Drafts, sebuah program berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menyediakan draf dokumen undang-undang ketika menulis satu usul yang mengandungi dua petikan kes yang sebenarnya tidak wujud, dikenali sebagai petikan halusinasi.
Menurut hakim itu, Wilson mendakwa beliau tidak menyedari AI boleh menghasilkan kes-kes halusinasi dan menjelaskan beliau sendiri tidak mengetahui apa yang dimaksudkan dengan kes halusinasi.
“Kes ini membentangkan mahkamah dengan satu senario luar biasa yang mana peguam bagi kedua-dua pihak yang bertikai terlibat dalam salah laku serupa yang wajar dikenakan tindakan sekatan,” tulis Aycock.
Kes sedemikian menjadi simbolik kepada dilema dan isu rumit yang kini terpaksa dihadapi oleh banyak institusi utama dunia berhubung risiko penggunaan AI bagi tujuan penyelidikan serta penyediaan bahan bertulis, termasuk dalam sistem kehakiman, dunia perniagaan dan juga sektor akademik.
Sebelum ini pada April lalu, sebuah firma guaman terkemuka di Wall Street turut dilaporkan terpaksa mengemukakan permohonan maaf kepada seorang hakim persekutuan selepas didapati menyerahkan dokumen pemfailan mahkamah yang sarat dengan kesilapan akibat janaan AI.– AGENSI










