PAC panggil Mindef 23 Jun ini, dapatkan penjelasan isu peluru berpandu Norway

PAC panggil Mindef 23 Jun ini, dapatkan penjelasan isu peluru berpandu Norway

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 23 Jun ini bagi mendapatkan penjelasan terkini berhubung isu pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) oleh Norway kepada Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada kementerian berkenaan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menerima makluman mengenai status isu terbabit daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali selepas keputusan dibuat oleh kerajaan Norway.

“Saya telah menerima panggilan sebaik sahaja keputusan daripada kerajaan Norway dibuat dan dimaklumkan mengenai status perkara itu.

“Bagaimanapun, perkara itu sudah agak lama dan saya difahamkan terdapat beberapa perkembangan baharu. Jadi kita akan memanggil pihak Mindef untuk memberikan pencerahan serta taklimat kepada PAC dan juga Jawatankuasa Keselamatan Parlimen Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas melawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi meneliti isu dan tindakan penambahbaikan di lapangan terbang berkenaan, di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata, sesi berkenaan akan memberi ruang kepada PAC dan Jawatankuasa Keselamatan Parlimen Malaysia mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai status terkini isu peluru berpandu Norway serta implikasinya terhadap projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

NSM adalah peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PAC turut akan meneruskan prosiding berkaitan Laporan Ketua Audit Negara yang melibatkan beberapa topik lain sepanjang persidangan Parlimen kali ini.

Katanya, selain prosiding, PAC juga bercadang meneruskan siri lawatan ke lapangan bagi meneliti pelaksanaan projek dan program kerajaan, termasuk mengadakan lawatan mengejut sekiranya perlu.

“Saya ada mencadangkan kepada PAC supaya kita turun ke bawah lagi dan mungkin selepas ini bukan lagi separa mengejut, tetapi terus lawatan mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN