Tiga sekawan mengaku tidak bersalah rogol remaja 13 tahun

Tiga sekawan mengaku tidak bersalah rogol remaja 13 tahun

ANGGOTA polis membawa Zamarul Hisyam (dua dari kanan), Muhammad Hakimi (tiga dari kanan) dan Mohamad Aiman (dua dari kiri) untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga sekawan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di dalam kawasan semak dan rumah terbengkalai dekat Kuala Krai pada hujung bulan lalu.

Tertuduh, Zamarul Hisyam Mohd. Zamzuraidi, 18, Mohamad Aiman Firdaus Nazri, 24, dan Muhammad Hakimi Razlan, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol seorang perempuan yang berusia 13 tahun 11 bulan ketika kejadian.

Zamarul Hisyam dituduh melakukan perbuatan itu di kawasan semak di tepi jalan kawasan Kampung Ragu, Manek Urai, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 27 Mei lalu.

Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi pula didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah terbengkalai di Kampung Sungai Tias, Laloh dekat Kuala Krai kira-kira pukul 1 pagi dan 1.30 pagi pada 28 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap ketiga-tiga lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi turut didakwa melakukan kontak fizikal terhadap mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim dan peguam, Muhammad Yusoff Abdullah mewakili Zamarul Hisyam manakala Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi diwakili peguam, Muhammad Izzat Hasizan.

Terdahulu, Nur Kamilah tidak mencadangkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Muhammad Yusoff dalam rayuannya memohon ikat jamin yang minimum diberikan kepada anak guamnya yang baru sahaja mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia beberapa bulan lalu.

“Tertuduh juga bercadang untuk menyambung pelajarannya tidak lama lagi. Jadi, saya mohon jaminan yang minimum mengambil kira faktor kewangan keluarga tertuduh yang hanya bergantung kepada bapanya sebagai buruh kampung dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan,” katanya.

Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi juga memohon ikat jamin yang minimum terhadap kedua-dua anak guamnya.

“Mohamad Aiman mencari rezeki dengan membantu bapanya melakukan kerja membuat rumah manakala Muhammad Hakimi pula mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing.

“Kedua-dua tertuduh berjanji mematuhi segala arahan yang ditetapkan sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap mereka,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Zamarul Hisyam diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi dan mangsa selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 masing-masing dengan seorang penjamin kepada Mohamad Aiman dan Muhammad Hakimi termasuk syarat tambahan yang sama.Ketiga-tiga tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN