KUALA LUMPUR : Pilihan Raya Umum (PRU)-15 tidak harus diadakan awal bagi memberi peluang kepada pengundi 18 terlibat pada PRU kali ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pengundi 18 tahun yang meliputi jumlah lebih besar sudah pasti akan memberi impak kepada politik negara sekali gus mereka perlu diraikan sebagai pengundi pertama pada PRU kali ini.
“Kita perlu nemberi peluang kepada mereka yang berumur 18 tahun untuk mengundi. Ini bermakna kalau buat pada tahun depan, peluang boleh diberi kepada kepada warga baru dalam dunia pengundian.
“Peluang mengundi (18 tahun) akan dibuka tahun hadapan. Jadi, ia tidak wajar untuk diadakan segera,” katanya.
Dalam masa yang sama, Shahidan yang juga merupakan ahli parlimen Arau turut mengingatkan agar semua pihak perlu memikirkan bebanan rakyat ketika ini yang mengalami kesusahan akibat Covid-19.
“Pilihan raya tidak wajar diadakan segera kerana rakyat masih memerlukan pembelaan kesan daripada Covid-19.
” Jadi, inilah masanya untuk kerajaan bela rakyat dengan memberi tumpuan khusus menyelesaikan masalah yang timbul daripada kesan Covid-19,” ujarnya lagi.
Sebaik sahaja BN mencapai kemenangan selesa dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, ada pihak yang mahu PRU15 disegerakan.
Antara yang membuat kenyataan mahu PRU15 diadakan segera selepas kemenangan besar BN ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Alasan yang diberikan oleh Mohamad adalah bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat mandat rakyat sekali gus bagi memberikan keyakinan kepada banyak pihak termasuk pelabur asing bersandarkan kepada kestabilan kerajaan dan politik semasa.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sekarang bukan masa yang sesuai kerana rakyat masih dalam kesusahan.
Sebaliknya, tumpuan harus diberikan untuk memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat Covid-19.
Malah, tegas beliau lagi, perbelanjaan untuk menguruskan PRU-15 sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang baru mahu memulakan hidup. -UTUSAN ONLINE