Sultan Nazrin hadiri sambutan 100 tahun UPSI - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin hadiri sambutan 100 tahun UPSI

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md. Amin Md. Taff.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat pameran berkaitan sejarah dan pencapaian UPSI sebelum menyempurnakan lafaz dan gimik pelancaran majlis berkenaan.

Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata, seiring dengan kematangan UPSI yang telah mencapai 100 tahun, gedung ilmu itu melangkah pantas membina kecemerlangan sekaligus memberi saingan hebat kepada universiti ternama lain.

Menurut beliau, dengan penuh karisma, UPSI menyambung legasi, mengukir keunggulan dan giat membina kemasyuran di pentas nasional serta antarabangsa.

“Ternyata UPSI mempunyai keupayaan tersendiri dan idealisme warganya yang bijaksana dalam menguruskan sebuah universiti pendidikan tersohor negara.

“Banyak kejayaan yang dicapai telah melonjakkan nama UPSI di persada global antaranya Times Higher Education (THE) telah mengiktiraf UPSI sebagai universiti kelapan terbaik negara dan di kedudukan 801 dunia dalam World University Rankings 2022,” katanya.

Menurut Noraini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa menyokong usaha UPSI dalam memartabatkan mutu pendidikan negara.

Ujar beliau, pihaknya juga amat mengharapkan kepakaran UPSI dalam memperkenalkan kaedah terkini, meremajakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional kepada digital serta pembentukan kurikulum yang holistik berteraskan keinsanan.

“Bentuk dan cara pembelajaran di universiti perlu disesuaikan mengikut zaman. Dalam tempoh pandemik ketika ini banyak mengajar kita mengenai kepentingan teknologi.

“Oleh sebab itu, UPSI perlu beri penekanan kepada pendigitalan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. 

“Saya yakin dan percaya, dengan kepakaran yang ada pada akademia di UPSI, hasrat untuk membantu negara dalam merangka sistem pendidikan yang holistik dan kalis masa depan akan dapat dicapai,” katanya.

UPSI yang ditubuhkan pada 29 November 1922 pada mulanya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) sebelum dinaik taraf 35 tahun kemudian menjadi Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).

Dalam tempoh 30 tahun, MPSI kemudian dimartabatkan menjadi Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sebelum dinaik taraf kepada UPSI pada 1 Mei 1997 dengan memiliki tiga buah kampus utama di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim, Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City dan Kampus Teluk Intan. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya