PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melakukan serbuan ke atas 666 premis menjual ubat kuat tidak berdaftar dengan nilai rampasan mencecah RM5,818,963.
Dalam masa sama, serbuan juga dijalankan ke atas 187 premis menjual suntikan vitamin C dengan nilai rampasan berjumlah RM278,202.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, sejak tahun 2019 sehingga November ini, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM menerima sebanyak 362 aduan daripada orang awam mengenai ubat kuat dan suntikan vitamin C.
Menurutnya, bagi mengekang penjualan produk kesihatan tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C, pihak KKM giat menjalankan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan terutamanya di lokasi panas yang dikenal pasti di seluruh negara.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi meningkatkan pemantauan terhadap ubat tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C yang dijual dalam talian dan terdapat pengiklanan serta penjualan keluaran di platform e-dagang yang dijual telah diarahkan untuk diturunkan.
“Sejak tahun lalu, pihak syarikat pengendali platform diarahkan untuk menyekat sebarang produk ubat-ubatan berkaitan ubat tidak berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar melibatkan tiga laporan untuk tiga hari berturut-turut bertajuk ‘Tisu Magic Ganti Ubat Kuat Seks’ (1 November), ‘Duit Habis Kulit Tak Putih’ (2 November) dan ‘Jenuh Mengadu, Tapi Tiada Tindakan’ (3 November 2021).
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 19,862 iklan produk telah dinotifikasi untuk diturunkan sejak tahun lalu sehingga November ini manakala sebanyak 1,665 bilangan pautan di media sosial dan platform e-dagang luar negara berkaitan ubat kuat dan suntikan vitamin C telah dimajukan kepada pentadbir platform bagi permohonan penurunan kandungan.
Tambahnya, sebanyak 257 laman sesawang telah dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan.
Mengulas lanjut, Norhaliza berkata, pengguna diingatkan supaya sentiasa mendapatkan khidmat nasihat doktor bagi rawatan perubatan kerana pengambilan ubat kuat tanpa pengawasan doktor boleh meningkatkan tekanan darah dan denyutan jantung, seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung dan strok terutama mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah buah pinggang.
“Penggunaan ’tisu basah’ yang mengandungi anestetik jika digunakan dalam jangka masa panjang boleh mengundang risiko mati pucuk,” ujarnya.
Bagi vitamin c, beliau berkata, di Malaysia ia tidak didaftarkan dalam bentuk suntikan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tegasnya.
Justeru, beliau menasihatkan pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram Farmatag dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.
Status pendaftaran produk boleh disemak melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan Product Search atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma daripada Play Store, App Store atau Huawei AppGallery.
Orang ramai digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk farmaseutikal tidak berdaftar atau kosmetik tidak bernotifikasi melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran. -UTUSAN ONLINE