PH gesa Zahid hormati MoU - Utusan Malaysia

PH gesa Zahid hormati MoU

ISMAIL Sabri Yaakob bersama barisan pimpinan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, pada September lalu.-IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 perlu mengikut ketetapan yang sudah diputuskan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada September lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, adalah salah untuk melanggar perkara yang sudah dipersetujui bersama.

Namun, katanya, andai ada rundingan untuk membenarkan pilihan raya itu diadakan sebelum Julai 2022, ia harus datang daripada pihak yang menandatangani MoU itu dan bukannya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi Ahmad Zahid jangan lebih sudu dari kuah. Kita kena pegang apa yang ditandatangani kecuali ada isu besar kerana MoU itu melibatkan akta antilompat parti, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), undi 18 dan suntikan dana Covid-19. Jadi itu yang harus diusahakan untuk dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, Memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukan ‘kitab suci’ untuk tidak membenarkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan sebelum Julai 2022.

Ahmad Zahid berkata, bagaimanapun ia tidak bermakna MoU tersebut perlu dilanggar tetapi boleh dirundingkan demi mendapatkan keputusan secara konsensus.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, penjelasan dan alasan munasabah perlu dikemukakan sekiranya mana-mana pihak mahu menukar kebenaran pilihan raya umum itu seperti mana yang termaktub dalam MoU.

“Jika mahu tukar, perlu berikan penjelasan kenapa, adakah kerana tarikh itu sudah tak boleh diguna pakai atas sebab isu Covid-19 sudah selesai atau sebagainya.

“Andai dahulu kita setuju pada satu tarikh kerana kita rasa kita tak cukup kuat sehingga selepas tarikh itu, tetapi kini ini tiba-tiba oleh kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kita rasa kita cukup kuat, maka tak perlu penuhi semua janji dalam MoU itu termasuk tarikh pembubaran Parlimen.

“Maka, itu bukan soal kitab suci atau bukan kitab suci, tetapi itu ketidakjujuran dalam menangani MoU. Kejujuran penting apabila membuat MoU itu dan usaha untuk menunaikan segala yang dipersetujui bersama dan jika langgar itu sebaik-baiknya dengan persetujuan semua pihak atas alasan munasabah,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis politik, Prof. Dr Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, persetujuan semua pihak yang menandatangani Mou itu amat perlu untuk membenarkan PRU-15 diadakan sebelum Julai 2022.

Bagaimanapun katanya, ke­putusan mengadakan pilihan raya itu tetap bergantung pada Ismail Sabri sama ada untuk mengadakannya sebelum atau selepas Julai 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN